Jumaat, 27 Mac 2009

ISTILAH CINTA

Batu Buruk 15 Mac 2009

Cinta senantiasa inginkan sesuatu yang istimewa bukan yang sempurna...
Kita mungkin perlukan satu hari sahaja untuk jatuh cinta dan bertahun-tahun untuk melupakannya...
...
Indahnya cinta hanya seketika
...


Begitulah tafsiran manusia tentang CINTA. Ada yang mengatakan cinta itu buta...cinta itu abadi..cinta juga diibaratkan kilat...jadilah cinta kilat...ada cinta terhalang...ada cinta terlarang...dan macam-macam yang dikaitkan dengan cinta.

Saya sering keliru tentang cinta. Mungkin usia begini tidak sesuai menjadikan cinta sebagai isu cerita tetapi salahkah saya berkisah tentang cinta. Kita sebagai manusia bukan jatuh cinta hanya sekali dalam hidup. Malah mungkin berkali-kali. Semakin jauh...semakin dikejar. Selagi ada halangan...selagi itulah kita memaut harapan. Agak pelik tetapi benar...

Saya pernah cuba menulis novel berkisarkan pencarian cinta. Lapan bab (pendek) dan berhenti. Sakit kepala memikirkan kerana setiap kali menulis... saya yang menangis... sampai bila nak siap kalau disulam tangisan? Bersandarkan pengalaman sendiri, kononnya...tapi dah dekat 4 tahun tak siap-siap...kerana apa...mungkin kerana cinta ini terlalu luas ruang lingkupnya hingga tak tercapai dek saya.

Kisah cinta memang sering menarik perhatian. Tetapi saya tidak begitu berminat dengan kisah cinta remaja, cinta tiga segi ala 70'an atau cinta hindustani yang gelombangnya ala tsunami itu dan kesudahannya 99% happy ending. Saya sangat tertarik dengan kisah romantis yang punya kelainan...punyai dimensi bersegi-segi sehingga hampir tidak dapat difahami...menyorot unsur kemanusiaan yang bertapuk-tapuk rangkaiannya. Tak percaya???Tanya kekawan saya...bila saya membaca novel tak siapa nak pinjam novel saya kerana mereka kata susah nak faham. Sakit kepala baca. Sangat berat...tetapi itulah kepuasan bagi saya. Advantage buat saya...boleh simpan cantik di rak buku...kalau tidak... lebu dipinjam orang...hehehe

Badai cinta sangat hebat. Pengalaman sendiri adalah sekerat dua...tetapi pengalaman kekawan dan ipar duai berada banyak dalam kepala saya. Itulah masalah saya...suka fikir hal orang lain sedangkan hal sendiri sering tidak terurus.

Cinta anugerah illahi paling murni. Jatuh cinta fenomena biasa dialami manusia. Putus cinta akibat tak sehaluan dan tidak direstui. Ada yang anti cinta, dikecewakan...thats it...till the end..aku tak mahu jatuh cinta lagi. Ada yang obses cinta...aku sanggup mati kerana cinta...dikau lah segala-galanya dalam hidupku...andai berpisah...berpisahlah nyawa dari badan...hahaha...hei kawan...hidup mati kita bukan ditentukan oleh cinta tetapi ditentukan oleh tuhan...

Filem Cinta dan Sepi adalah antara rangkaian kisah cinta yang meniti landasan fikiran saya. Ni sume filem yang orang tak berapa nak tengok...pening kepala daaa...boring...terpaksa pikir...cerita lompat sana sini. Tetapi... saya menitiskan airmata menonton. Terangguk-angguk kerana saya sangat- sangat setuju dengan isi cerita dan pengarahannya. Filem Muhsin yang sarat mesej itu ada unsur cinta mendalam, realiti hidup manusia yang sedikit sebanyak mengimbau masa silam saya...

Berurusan dengan perasaan adalah sangat-sangat sukar. Kenapa mesti benci seseorang? Kenapa mesti suka seseorang? Kenapa mesti CINTA seseorang? Saya nak jawab ape? Ada yang menyintai yang muda. Ada menyintai yang tua. Ada menyintai yang seusia. Ada menyintai yang opposite...maksud saya...yang hitam manis suka yang berkulit cerah dan yang berkulit cerah suka yang kelam dan ada pulak mesti sekufu...sama-sama kelam atau cerah. Ada yang menyintai yang single dan tidak kurang pula milik orang lain. Kenapa?..itulah keajaiban CINTA.

Tidak kurang yang menuduh...CINTA sinonim dengan nafsu. Itulah sebab terjadi pelbagai tragedi kerananya. Bunuh diri...dibunuh...terbunuh...membunuh...sume ada! Nafsu manusia yang mengawal segalanya...itu perspektif sekelompok manusia. Tetapi bukan bagi saya. Cinta itu memang murni. Nak kata nafsu 100% tak jugak. Saya lihat ada yang slim tampan berkahwin dengan sidia yang tubuh ala sumo. Ada yang muda cantik macam siti...kahwin dengan lelaki yang jauh berumur daripadanya. Dan berderetan lagi contoh-contoh yang kalau nak dipaparkan 4 ke 5 blog tak habis. Pendek kata benarlah... cinta inginkan yang istimewa...

Romeo n Juliet dan Laila Majnun adalah legenda cinta suci...saya tak pasti sebenarnya...legenda atau metos...dan pasangan yang mati kerana cinta. Saya bukan nak suruh pembaca mati kerana cinta. Janganlah!..mati syahid...perjuangkan cinta agama adalah jauh lebih berbaloi.

Memang sukar melupakan rasa cinta yang telah lama terjalin. Separuh mati mahu melupakan...kalau itu terjadi pada anda...cinta anda mungkin benar-benar ikhlas. Tetapi kalau cinta boleh dikuis sebelah kaki dan jatuh cinta macam main bola, rebut bila dikaki orang dan bila dah dapat ditendang...cinta anda jelas palsu. Sahabat saya pernah berkata...jadikan cinta macam bola ragbi..rebut bila tak dapat...dah dapat.. peluk dan lindungi ia...barulah best...first class lover beb...
Ape ye kesimpulannya??? Ishh...fikir sendiri lah..saya dah ngantuk ni. Bye...to those i luv so much...



Khamis, 26 Mac 2009

BBQ

Menghadiri majlis bbq pelajar kelas H2P7 malam tadi sedikit mencuit rasa. Saya jarang menyertai pelajar untuk majlis begini kerana masalah meninggalkan anak-anak di rumah. Kebetulan pelajar memohon bantuan. Kesian pulak. Dah tertunda seminggu. Saya memberi syarat..mesti diadakan weekdays. Weekend...jadual khusus untuk anak-anak saya.


Dijemput hadir jam 9.00 malam. Saya hadir hampir jam 9.00. Anak-anak itu sedang membakar jagung rupanya. Baunya sedap...al maklum dah lapar sangat. Tapi saya maintain protokol. Saya beri salam dan dijemput duduk. Yang lelaki sibuk membakar. Yang perempuan sibuk bergambar dan saya diminta join sekali. Mula-mula malas juga nak join...ye lah...dah tua-tua begini, sesi bergambar tidak mendatangkan rasa teruja lagi. Sementara menunggu, dihidangi air dan saya berbual dengan beberapa orang pelajar perempuan. Agak janggal juga pada mulanya...tetapi lama-lama rasa selesa. Bergelak ketawa mengurangkan sedikit rasa keletihan seharian. Urusan di rumah saya letakkan ke tepi sementara waktu.





Banyak input yang saya dapat daripada pelajar-pelajar ini rupanya. Sesi pengajaran tidak mengizinkan saya banyak berinteraksi dengan mereka. Habis-habis pun saya buat lawak sedikit...mereka ketawa... dan saya banyak menceritakan pengalaman saya kepada mereka. Pengalaman yang kadang-kadang mengimbau masa lampau yang tidak akan kembali lagi dan mereka melongo mendengar.

Saya mengajar mereka erti etiket dan komunikasi. Mengajar mereka supaya senantiasa bersopan, beradab dan mengikuti norma-norma masyarakat. Mengajar mereka erti berinteraksi dengan manusia secara asertif supaya perhubungan sesama manusia menjadi semurni mungkin. Mengajar mereka bertata rias serational mungkin mengikut situasi dan tempat. Mengajar mereka bagaimana membuka mulut di khalayak dan agar apa yang disampaikan berkesan. Bukan mudah...tanggungjawab yang sangat berat.


Majlis malam tadi memberi saya sedikit gambaran...berkesankah apa yang saya sampaikan selama ni? Bukan setakat berpeluh dan berbuih mulut bercakap, badan pun rasa sakit-sakit. Nak ajar berjalan, duduk, naik tangga, turun tangga, berdiri dan sebagainya. Adakalanya saya terpaksa menunjukkan sendiri cara yang betul kerana mereka malu nak melakonkan. Ada tawa ria dan kadangkala kelas jadi hiruk pikuk. Tapi tak dapat dinafikan ada juga kelas yang responnya kurang...melemahkan semangat membara saya untuk mengajar. Pendekatan lain harus dicari apabila bertembung dengan kelas sedemikian.


Saya ketawa dalam hati kerana masing-masing maintain protokol. Mereka makan dengan tangan dan saya makan dengan sudu dan garfu. Ada ayam, nasi jagung, sausage, epal hijau dan jagung bakar. Kenyang sekenyangnya. Saya dah lama tak makan malam banyak dan berat begitu. Demi jaga hati anak-anak ini, saya makan sampai habis...dua ketul ayam, nasi, dan sekerat jagung. Sedap juga...pandai budak-budak ni bakar.

Sambil tu saya ambil kesempatan bertanya...awak rasa ada kesan tak pengajaran dinamika kemahiran?...jawab mereka...ada puan...sekarang ni bila nak buat apa-apa, automatik kami teringat apa yang puan kata. Jadi automatik kami jaga kelakuan kami. Betul puan ...sampuk yang lelaki...lega hati saya. Tah bagaimana terkeluar isu makan sisa. Kata bebudak tu isteri boleh makan sisa suami...suami jangan makan sisa isteri...saya tak begitu arif tentang ni...saya belajar sesuatu malam tu.


Terbukti apa yang mereka kata...ada ucapan pengarah projek, bacaan doa, makan dengan senda gurau yang minimal. Masing-masing makan dengan cara yang sopan. Tiba part makan jagung pecah suasana dengan gelak ketawa kerana kena makan row by row. Letih ada puan ni kan...tapi yang lelaki tak sabar makan dan kokak di mana mau. Tetapi sedar akhirnya bila nampak buruk sangat rupa tongkol jagung tu...akhirnya mereka mengakui, betul kata puan...setiap kali kokak kita akan tengok tongkol jagung ni sebelum terus mengokak lagi. Tawa berderaian.

Hampir jam sebelas baru tamat sesi penggambaran. Anak saya telah menelefon berkali-kali menyuruh saya pulang. Saya harus memastikan mereka semua pulang baru saya boleh beredar dari laman santai tu. Takut ada perkara tidak diingini berlaku. Lambaian dan kucupan di tangan menandakan rasa besar hati mereka kerana kehadiran saya. Senyuman dan deraian ketawa mereka saya bawa pulang bersama....terima kasih buat anak-anakku yang dikasihi...semoga berkat ilmu yang kucurahkan itu menjadikan anda semua dihormati dan dikasihi...



Gambar bersama pelajar H2P6 semasa saringan korel speaking 2008. Saya bukan tak ikut protokol pakaian...tapi pelajar-pelajar ini memilih baju kurung sebagai baju seragam mereka. Kebetulan pulak saya pakai baju hijau jugak...tapi bukan baju dan tudung yang sama tau... Hishh...baru perasan...tinggi dan besarnya saya ni...hehehe.

Jumaat, 20 Mac 2009

SELAMAT ULANG TAHUN SAYANG

mama depa semua lupa bday adik
dak...depa ingat .saja nak usik adik. depa buat lupa
dak depa memang lupa.depa tak beli hadiah pun.tah2 ayah pun lupa
ayah ingat
tau mana
tadi ibu call, ayah kata nak celebrate petang ni
ibu...tak pa la. depa semua dah lupa tak pa la

Si manja bongsu merungut dalam sms . Seharian ini (19 Mac 2009), saya asyik melayani sms dan panggilan telefon. Sangat resah, dan saya sama-sama resah. Al maklum anak yang bongsu. Kalau tak diikutkan kehendak hati, dunia boleh jadi kucar kacir dibuatnya.

Balik makan tengahari...saya lihat akak dan abang relaks. Macam tak ada apa yang istimewa. Syifaa, muncung panjang seinci setengah...lebih setengah inci dari hari biasa. Kemarahan, rajuk dan resah terpancar jelas dan saya buat tak tau aje. Dalam hati bagai digeletek. Saya cuit angah dan angah seperti biasa membalas dengan senyuman manis. Saya tarik masuk ke bilik. Hang dah lupa ka?...bisik saya....Ingat ibu...tapi kami dah tak dak duit. Habis beli souvinier kat terengganu...balas dia selamba. Petang ni...hampa siap ibu bawa beli hadiah...angah senyum tanda setuju.




Saya hantar Syifaa ke tuisyen...bersama muka kelatnya. Ishh...turun perangai aku betul. Saya diam...biarkan dia melayani perasaannya. Insyaalah mendung akan berarak pergi beberapa jam lagi. Sepulangnya saya terus ambil 3 permata hati tu pergi shopping. Suami saya ditugaskan membeli kek. Saya tak kisah kek ape pun...asal boleh letak lilin diatasnya. Tengok...besar keknya kan!. Hadiah daripada saya...awal lagi dah dibeli...set make-up. Jangan tak tau, anak saya ni suka berdandan dan berhasrat nak jadi fashion designer...adakalanya nak jadi doktor haiwan...tapi tuk kucing dan hamster saje...dia ingat dia siapa boleh nak pilih2 haiwan lak. Kalau tilik2 kebolehan tu memang dua-dua pun sesuai kerana dia sangat penyayang...sensitif...pemaaf dan sangat prihatin. Saya sering juga sakit hati bila acapkali dipaksa kata...ibu sayang adik sorang aje. Ikhlas tak ikhlas dia tak kisah....asal kata sayang.

Saya dan suami tak sempat salin pakaian terus meraikan. Dia tersenyum manis. Badan...hem...mana taknya asyik minta cium siang dan malam. Anak yang sering dibelai tentu cepat membesar. Saya selalu keluarkan ucapan ini. Hadiah abang dan kakak ditunggu. Dan tengok ni...



Kek strawberry besar. Ada ceri dan dia tersenyum manis, sambil memaut leher saya. Saya terharu. Anak saya ini terlalu sensitif...dan nampak dia mengesat airmata dari bawah kacamatanya. Suami saya seperti biasa...mengerling sahaja. Menghulurkan tangan...memberi ciuman setelah nyanyian dan kek harijadi dipotong. Menyuapkan ke mulut si bongsu. Syifaa tenung ayah dan ayah tenung dia dan suami saya menghulurkan kunci. Syifaa terkedu...kunci ape?...ambik hadiah kat bawah...ujar suami saya. Sambil melompat alang mengiringi dia ke bawah...apa lagi...hadiahnya basikal...terlalu lama diidami.



Saya duduk ditangga melihat dua beranak sedang menurunkan tempat duduk basikal. Tinggi...Syifaa terus tersenyum sambil memegang basikal...seolah-olah tak mau dilepaskan. Saya turun membantu suami yang terkial-kial tu. Ishhh...kalau tak tolong tak siap la...dah ok dia cuba naik. Ketawa terkekeh-kekeh dan saya berasa tersangat lega melihatnya. Simpan dulu...hari dah senja. Suami saya naik dan saya yang masih duduk ditangga memerhari gelagatnya.

Saya bantu mengunci hadiah yang diidamkan itu. Amat mengharukan apabila dia berkata...ibu...hari ni adalah harijadi paling seronok untuk adik...adik dah dapat apa yang idamkan selama ini...basikal ..ibu...basikal...

Ya...ibu tau..itu sahaja ayat yang terkeluar dari mulut saya. Apa yang membuat saya terharu...dia dah minta daripada saya lebih sepuluh kali. Jawab saya...dapat 5 A dulu baru ibu bagi...tapi tak dapat-dapat. Saya terus memaksa...sampai pernah suatu hari dia berkata...ibu ni tak bersyukurlah. Adik dah naik sampai dapat 78 matematik cukuplah. Dia menarik muka masam. Seperti biasa mula mengesat airmata dari bawah cerminmata.

Bila difikir-fikirkan...saya rasa bersalah...malu kepada diri sendiri. Saya sepatutnya sedar bahawa bukan semua anak sama kemampuannya. Anak saya yang ini mungkin manja...yang lain-lain relaks. Mereka tidak perlu dipasak telinga dan diajari . Mereka belajar sendiri...sementara saya terus uruskan rumahtangga. Syifaa tidak begitu. Setiap hari unjukkan buka latihan dan saya terpaksa belajar sains, matematik dan kedua-dua bahasa bersama-sama. Saya rasa penat...sangat-sangat penat. Saya sering tewas ...tiada kesabaran...dan kadang-kadang suatu tindakan yang sanagat-sangat tidak adil ...cuba membandingkan.

Saya biarkan Syifaa masuk sendiri ke dalam rumah. Saya duduk di luar rumah memerhatikan ikan guppy dalam akuarium di luar rumah. Saya tenung anak-anak-anak ikan kecil itu. Air dari pancuran atas turun menitis laju...dan airmata saya juga turun menitis jatuh ke permukaan air ... satu..satu...saya kesat...maafkan ibu anakku. SELAMAT ULANG TAHUN SAYANG...semoga esok menjanjikan kebahagiaan untukmu...

Selasa, 17 Mac 2009

HUJAN DAN OMBAK


Hei...mana hujan dan ombaknya? Biarlah saya warm up dulu...Ni hutan Banding. Sangat cantik, sejuk mata memandang menusuk masuk ke ruang sanubari saya yang sangat halus. Perjalanan ke Kuala Terengganu ini perlu saya rakamkan. Sangat perlu rasanya. Banyak perkara yang saya nak kongsi bersama. Keindahan, kesyahduan dan dugaan Allah yang amat besar datang menghambat saya dalam suatu jangkamasa yang sangat singkat.


Cabaran untuk pergi cukup membuat saya benar-benar letih. Saya sudah semakin berputus asa. Suami yang sibuk, kerenah birokrasi , fikiran yang tidak tenteram dan kesihatan saya yang yang semakin terjejas sejak kebelakangan ini. Hampir-hampir sahaja perancangan tidak menjadi. Saya sudah terlalu lama kepingin pergi. Pernah terdetik untuk pergi seorang. Semata-mata nak lihat ombak memukul pantai, duduk seorang diri menghirup bayu laut hingga ke larut malam. Tetapi saya sedar hidupnya saya bukan seorang. Ramai menyokong dari belakang, terutama anak-anak. Saya terpaksa pujuk dan terus memujuk suami tercinta untuk pergi. Akhirnya dia mengalah. Ok...dia booking hotel...itupun setelah 3 kali buat hal...ape lagi saya merajuk la...senjata wanita tu...hehehe. Adik bongsu dan suami turut serta. Ini sebenarnya idea mereka. Nak berkongsi percutian dengan anak-anak kami...masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun setelah 10 tahun berkahwin...saya?... jenuh tepis.


Perjalanan sangat meletihkan. Hujan turun hampir 50% perjalanan. Saya dah lama tak jalan jauh. Habis-habis holiday kat Penang. Anak-anak keletihan, yang becuk...si bongsu, gebu tu asyik tanya ...tak sampai lagi ke?. Bila kerap ditanya saya mulai rasa bersalah...betulkah tindakan aku...bercuti sejauh ni?. Itulah saya...sering tidak percaya kepada diri sendiri dan sering tewas apabila diuji berganda begini. Suami turut resah...memandu dengan kelajuan 60km sejam dari Jeli sampai ke K. Terengganu sangat jemu dan meletihkankan. Hujan ..jam pulak.

Kalau lumba dengan penyu pun, penyu sampai dulu...memang la sampai dulu...Penyu kan dah berkampung di Terengganu sejak dulu lagi. Ishh...


Nak cari hotel ni dah sepasai. Tawaf 2 kali baru jumpa. Call situ, sana, sini .Nampak gah . Ini sahaja yang available. Hotel dan appartment lain dah penuh. Ye lah...perjalanan yang tak dirancang memang banyak masalah. Saya memang suka cari masalah...hampa sume jangan tak tau...


Hujan terus turun. Anak saya yang bongsu berdukacita terus-terusan. muncung seinci panjang. Keluar perkataan keramat...nak mandi kolam je...bengang gak...tapi saya cekalkan hati. Anak-anak memang macam tu kalau tak dipenuhi hasratnya. Macam saya...mak kepada anak-anak pun, asyik sebut benda yang sama selagi tak dapat. Asyik merenung dari sliding door berkunci. Pemandangan indah di bawah. Kalau jadi dia pun, kita akan teruja sesangat. Tapi saya tak berdaya...hujan dan deruan angin dan ombak jadi batu penghalang.



Sejuknya hanya Allah yang tahu. Saya terus melompat ke katil. Anak-anak berlarian, gurau senda terus kedengaran bercerita itu dan ini ngan mak usu and pak usu. Saya baring berselimut ngan suami. Rehat...peluk memeluk. Anak-anak tersenyum puas tengok kami intim. Cik abang yang ini pantang letak kepala atas bantal...mengeruh. Saya bangun sambung cerita ngan adik. Selang beberapa minit nampak hubby bangun baca surat khabar pagi, yang tidak sempat dibaca tadi...asal dia tak merungut dah cukup ok. Nampak serius je...saya pura-pura-pura tak faham.


Malam keluar makan di Nil's Restaurant. Rasa...biasa je. rm122. Haa..memang mahal ...sebab tak lah banyak di order kerana masing-masing letih. Saya tak begitu selera nak makan. Tak tau kenapa. Saya dah kenyang kot bila nampak kelibat destinasi. curi-curi pandang ke plat kereta dalam perjalanan, intai-intai pemandu...mana tau ada yang dikenali. Tapi tak ada. Lepas makan hubby naik terus. Dia memang penat, kendali kursus...balik KL terus bawa kami ke sini. Kalau saya tentu dah lama ngamuk. Tapi...hubbyku yang satu ini...sangat penyabar. Sepatah ucapan sakit hati pun tak keluar dari mulutnya. Aku betul-betul respect. Apalagi , aku pulak yang menyesal ajak dia ke sini. Kesian...


Ombak sangat kuat memukul pantai. Hujan pun turun sesekali lebat, sesekali renyai dan kurang-kurang pun gerimis. Langit gelap. Seolah-olah menanti kehadiran saya ke sini. Dimaklumkan sebelum ni tak hujan pun. Malam tu lepas makan, saya bersama anak-anak ke tepi pantai. Ombak kuat memukul pantai...hati saya sangat tersentuh. Gerimis tidak saya pedulikan kerana melayani fikiran.




Malam itu saya tidak lena tidur, teringatkan sesuatu. Badan pun letih tidak terhingga. Jam 4.45 pagi dah terjaga terus. Cuba pejamkan mata. Pagi anak-anak turun makan, saya dan hubby relaks kat bilik. Tercapailah hasrat si bongsu...swimming sepuas hati. Sampai demam adik ipar saya tu melayani kerenahnya. Saya mencuri pandang dari atas. Nampak mereka gembira bersama adik saya suami isteri. Sedih rasanya...melihat adik saya menumpang kasih anak-anak saya. Biarkan...saya biarkan mereka bergembira di bawah sana. Saya terus berehat. Menanti hubby bersiap dan kami ke medan selera untuk sarapan.


Lihat...suami saya yang berbaju jingga bata tu....dok tunggu nasi dagang. Saya jadi macam tuan puteri tunggu dihidangkan santapan. Sesekali seronok buat macam ni kan... Lama gak. Sampai-sampai saya mula makan. Tapi makan separuh sahaja. bukan tak sedap tapi pulut seratus peratus. Saya tak boleh makan pulut. Tapi dah lapar dan nampak menyelerakan...makan lah. Kalau nak sakit pun, sendiri tanggung. Tengahari kami shopping. Adik dah beli berpasang-pasang baju...saya tak jumpa-jumpa sehelai apa pun lagi. Memang masalah. Akhirnya saya beli juga 2 pasang walaupun kurang berkenan dan sehelai baju batik suami. Anak-anak beli cenderahati buat kawan-kawan. Mana nak dapat, saya bukan fokus sangat membeli...asyik memerhati dan berfikir tentang manusia yang lalu lalang, gelagak penjual dan pembeli dan macam-macam benda menyerbu masuk dalam fikiran. Hubby...tolong beli tepak sirih untuk rakan seunit. Pandai juga dia membeli...cantik. Adikku yang comel montel tu...kayu manis raksasa pun dibeli nak buat hiasan...kalau tak cukup kayu manis dalam gulai kenduri anak kami nanti boleh la minta kat dia...hehehe

Balik dah pukul lima. Anak-anak semakin letih. Letih jadi penasihat ibu...tunggu je ibu unjukkan yang mana. Terus mereka kata cantiknya serta merta. Nak bagi cepat beli. Tetapi kadang-kadang mereka nampak frust sangat bila saya tak termakan kata-kata bermadu mereka tu. Saya sering ketawa dalam hati...hampa sume nak tipu ibu ye...ibu pun ada strategi sendiri. Bila bawa masuk dalam kereta, nampak banyak juga yang dibeli dalam tak dirancang tu.

Makan malam hanya beli dari A&W dan dua nasi goreng. Anak yang bongsu ghairah minum beer (root beer). Saya bukan pro yahudi. Tapi tak ade pilihan. Takut rajuk dan tangis berkumandang lagi. Mereka makan dengan lahapnya. Dah hujan dan kesejukan sepanjang hari. Saya makan dua sudu nasi. Tak boleh masuk perut. Supper... Penang Char Kuay Teow dengan kawan lama. Bercerita. Panjang tak panjang...hampir sejam. Terubat juga perasaan. Hujan lebat dan ombak terus memukul pantai , makin hebat... sambil kami juga hebat bercerita.


Saya balik ke bilik dengan perasaan yang bercampur baur. Letih, resah bercampur lega...aik yang mana satu ni. Saya memang selalu celaru macam ni..jangan tak tau. Saya terus baring dan hubby masih menonton tv. Anak-anak ada yang tido. Ganti pakaian...terlelap dan terjaga jam 2 pagi. Saya tak boleh lelapkan mata lagi sampai pagi. Deruan ombak semakin ganas kedengaran...seiring perasaan saya. Kehadiran saya ke sini tak diperlukan mungkin...fikir saya. Saya rasa sangat terharu...dan terus cuba lelapkan mata yang tak mahu lelap itu.

Jam 11.00 pagi lebih kurang...kami dah tinggalkan Primula. Hati saya tersentuh. Si bongsu sempat mandi sekali lagi. Kami mengakhiri lawatan ke Taman Tamaddun Islam. Anak-anak seronok. Masjid Kristal saya lawati dan foto bersama satu-satunya putera saya ini saya rakamkan...



Dalam perjalanan pulang matahari mula menampakkan wajahnya, menjadikan saya semakin percaya Allah telah takdirkan kehadiran saya bersama ombak besar dan hujan lebat dan mengiringi kepulangan saya dengan sinaran sang mentari petang dan disambut pekat malam... jam 11.55 malam. Saya menarik nafas lega. Tamat sudah penantian dan pencarian saya mungkin.... Kuala Terengganu dan isi alamnya ...terima kasih kerana menghadiahkan ombak dan hujan kepada saya yang sangat kerdil ini...




Senjakala di Tasik Banding



Kasih sayang yang tidak bertepian. Adik bongsu saya, Suhaili dan suaminya , Sabri...riang melayani kerenah anak-anak saya. Pengalaman manis yang tidak mungkin akan berulang lagi...sampai bila-bila.

Ahad, 8 Mac 2009

MENTARI


Saya merakamkan gambar ini, seperti biasa... hanya dengan menggunakan telefon bimbit saya pada 06.08. 2007 pada jam 3.02 petang. Tarikh ini menandakan telah genap setahun saya melepasi usia kesakitan yang saya alami. Alhamdullilah...hingga sekarang saya masih boleh melihat isi alam berkat doa semua yang saya sayangi.

Petang itu, saya bagai digamit untuk turun ke pejabat untuk sedikit urusan. Seperti biasa saya sangat sensitif dengan persekitaran, nampak kelam...nak hujan ke? Sedetik kemudian masuk panggilan daripada kawan lama...ustazah Asma. Dalam nada riang dia menyuruh saya melihat keluar. Kebetulan saya sedang mendekati pintu sisi pejabat lantas saya menjenguk keluar mendongak ke langit. Ya Allah...di mana hilangnya mentari? Pada ketika itu saya merasakan betapa kuatnya debaran jantung saya. Menyesakkan nafas...ikhlas. Dunia nak kiamat ke? Detik hati saya.

Saya panggil beberapa orang yang lalu lalang termasuk pemandu kolej mendongak ke langit. Semakin lama semakin ramai yang keluar...ada yang berkejaran mencari sunglass takut mendatangkan kesan kepada mata dan ada yang menghalakan telefon bimbit ke langit, termasuk saya. Beberapa minit kemudian...saya menarik nafas lega...mentari mula menampakkan wajahnya. Gelung kelabu semakin jelas melingkari mentari. Apabila semakin ramai yang datang menjenguk, saya pun naik ke cubical semula. Debaran saya masih belum hilang.

Hati terus berkata-kata, apa yang mahu Allah tunjukkan kepada saya. Kebesarannya, keagungannya, keesaannya tidak pernah saya pertikaikan. Malah kepada Allah lah tali tempat saya bergantung harapan demi kelangsungan hidup. Meremang bulu roma saya dan airmata saya menitis kerana Allah memberi saya kesempatan untuk melihat kekuasaannya... kerana ramai rakan-rakan yang tidak menyedari berlakunya fenomena ini...malah ada yang seolah-olah tidak hairan sedikitpun apabila saya tunjukkan gambar ini padanya.

Selang beberapa bulan selepas itu.. tidak silap saya , semasa berada di kawasan pakir kereta blok P4 pada jam 8.00 malam ( keluar makan malam) saya terpanggil mendongak ke langit, sekali lagi saya nampak fenomena yang sama. Cuba merakamkan, gagal...kerana malam gelap dan cahaya datang dari langit. Saya amat hampa. Cuba hubungi rakan-rakan di Jitra tetapi menurut mereka...tidak nampak apa pun. Suami dan anak saya serta pengawal kolej jadi saksi. Malam agak cerah kerana sinaran dari tengah gelung. Saya tidak pasti cahaya mentari atau bulan.

Seperti biasa...saya ligat berfikir. Allah nak tunjukkan sesuatu...tetapi saya tidak pasti. Saya tidak mampu melihat kejadiannya dari sudut agama. Benar-benar tidak mampu...mahu bercakap mengenainya...saya takut...kerana sedar pengetahuan agama saya amat cetek.

Saya melihat segala kejadian ini dari sudut fikiran saya yang mungkin agak sempit. Walaupun sudah hampir 2 tahun berlalu, fenomena ini tetap dalam ingatan saya. Saya mengaku sering terlupa di mana saya letakkan senduk dan sudip apabila memasak. Tetapi kejadian-kejadian begini teramat sukar saya lupakan. Hampir setiap hari saya akan menatap rakaman yang saya buat di telefon bimbit. Sudah jadi rutin...

Terbitnya mentari menandakan bermulanya hari yang baru, suasana baru, rezeki baru, cita-cita dan harapan baru . Selagi ada sinarnya selagi itulah kita mesti bersedia menghadapi kelangsungan hidup ini, mahu tidaknya. Suka atau duka, sesuatu yang tidak boleh kita jadi pertaruhan. Itu hak dan ketentuan Illahi yang tidak boleh dipertikaikan. Maka dengan eratnya saya pegang prinsip yang satu...nikmatilah hidup ini selagi adanya sinar mentari..selagi mampu kita melihat mentari terbit...selagi sinarnya masih terasa memanah pedih menusuk ke kulit ari kita.

Selagi ada sinar mentari, selagi itulah adanya cahaya bulan. Mungkin itulah sebabnya gelung mentari itu berlaku pula pada malamnya. Mentari dan bulan sesama berjanji seia sekata mahu menyinari dunia siang dan malam. Biarlah tiada yang menyedari...biarlah ramai yang mengabaikan ...biar mereka lupa apa ertinya isi alam, tetapi alam tetap meneruskan tugasnya seperti biasa. Menebarkan cahayanya...agar manusia, flora dan fauna mampu terus hidup.

Siapalah saya untuk berkata banyak mengenai mentari. Mentari hak yang maha esa. Di tengah-tengah orbid cakerawala. Yang sangat-sangat berkuasa, menerangi planet-planet di sekitarnya.

Bertuahlah anda jika ada yang mengumpamakan anda sebagai mentari hidupnya. Sebagai sinar penerang dan pemberi harapan kepada isi dunia. Pada subuhnya ternanti-nanti akan kehadirannya dan pada senjanya menangisi sebuah perpisahan...kerana esok belum tentu akan menjanjikan hadirnya mentari dengan cahaya yang sama. Ada hari awan berarak menutupi dan ada harinya kelam ditutup gelungan puing kelabu yang tidak dapat dipastikan dari mana hadirnya..dan tidak mustahil cahayanya yang ditunggu itu tidak muncul-muncul lagi.

Bagaimana lagi saya mahu mengungkapkan kata-kata...kejadian tuhan ini memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya. Setelah saya amat-amati...setelah saya renung-renungkan..sedarlah saya...Allah telah memberi petanda sejak awal kepada saya...saya insan yang selalu leka, sering terlupa, kurang menyedari dan sukar menerima kenyataan hidup. Saya harus bangkit dari kelekaan dan kealpaan, menghadapi dugaan dunia dengan lebih positif, selagi mentari sudi menebarkan cahayanya...insyaalah


Khamis, 5 Mac 2009

MEKAR KASIH





















Menyemak?
Semak ini ada nilai estetikanya. Ada rahsia kasih yang kembang mekar di sebalik rimbunan pohon orkid yang menjulai jatuh dari ruang beranda kuarters saya ini. Merimbun bunga kuning orkid ini berbau harum jam seawal 10.00 pagi dan mulai menghilang menjelang senja. Pokok agak tua...ye lah setua penjaganya. Tapi kasihnya terus mekar dan tidak mengenal tua atau muda.

Orkid kuning ini tidak pernah putus berbunga. Rakan bertanya baja...saya beri baja...semoga sama-sama kita menikmati indahnya ciptaan tuhan.

Memelihara mekar kasih ini agak rumit. Perlu dibajai selang 2 minggu dan disirami setiap hari sekurang-kurangnya sekali. Pantang disiram malam...pohon akan menguning dan mati. Macam manusia juga. Orang tua-tua ada menasihati...jangan mandi sebelah malam...sakit sendi, lemah paru-paru, demam malam dan sebagainya. Benar ke? Benar bagi saya...tetapi nama pun manusia...mana yang dilarang itu yang teringin nak dibuat. Panas...mandi...sakit...telan ubat...sakit...sendiri tanggung.

Dilihat dari atas...mekar kasih yang sarat berbunga ini, menjulai keluar dari lohong pagar beranda menunjukkan dirinya. Memaparkan keindahan dan kelebihan diri. Saling bersaingan sesama sendiri. Asyik... merenungnya setiap hari. Mekar ini bertahan lama. Jika tiada hujan menimpa boleh bertahan sebulan lebih. Jika hujan berturutan, cepat gugur. Air hujan pembawa asid ...boleh memusnahkan apa sahaja. Sedangkan logam keras boleh berkarat dan tembuk inikan pula mekar yang lembut dan tipis ini. Saya cuma menunggu masa ingin mengerat dan buang kelopak yang berkarat dan berlubang supaya tidak menjejaskan pandangan.

Mungkin begitu juga hakikat kasih sayang. Insan mendambakan pujian untuk mencipta keyakinan dalam hidup. Apabila keyakinan ada, dia akan menonjolkan dirinya di khalayak supaya dilihat orang. Dengan keyakinan juga dunia semakin dirasakan berseri dan berlumba-lumba untuk menikmati kasih daripada orang yang mengasihi...kadang-kadang di luar kemungkinan. Tamak menghambat perasaan...lupa betapa lukanya hati orang lain. Tetapi hakikatnya tetap satu...tiba hujan musim hujan...mekar kasih ini musnah , di kerat dan di buang orang. Sambil menunggu mekar lain yang mungkin jauh lebih cantik. Ke mana kasih sayang saya yang disemai 1 bulan lamanya?...pupus hilang begitu sahaja dan saya rakus membuang.


Dunia...lihatlah mekar yang satu ini. Sangat pelikkan? Semasa pohonnya masih kecil dihadiahi oleh adik bongsu saya. Dia bosan membela...lambat membesar. Saya menerima. Hadiah...buat saya , amat bermakna walau sekecil mana pun. Saya sirami dan sering berkata dalam hati..bagaimana rupa bunganya ?.
Apabila sulur bunga menunjukkan diri saya segera menggantungnya supaya tidak tergesel dan patah. Al maklum...beranda saya tu kan LUAS...hehehe. Setiap hari mengintai dan yang keluar hanya kudup berwarna hijau yang keras. Ishh...pelik. Betul ke bunga? Akhirnya selang beberapa hari berkembanglah ia. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Sangat cantik dan unik. Kalau boleh saya nak tunjuk kepada semua orang...tapi apa kan daya baru hari ini saya tahu bagaimana nak tunjuk keindahan ciptaan allah ini.

Mekar ini selain rupanya turut mengejutkan dengan baunya. Suatu pagi ketika menyapu di beranda saya terbau bau pudina yang teramat kuat. Saya cari di baju...mungkin tercalit ubat gigi perisa pudina. Rupa-rupanya...bau mekar hijau ini. Saya cium dan ciumi ia semaunya. Tetapi setiap yang teramat istimewa itu selalunya tidak kekal lama. Seminggu sahaja sudah layu dan tidak lagi berbunga hingga ke hari ini. Mungkin sejak 6 bulan berlalu.

Tergamit mengenang insan teristimewa dalam hidup saya...banyak kelebihan yang tak terbandingkan. Tetapi hakikatnya Allah cepat menjemputnya...arwah ibu. Dalam usia 45 tahun ibu telah pergi buat selama-lamanya. Sebelum sempat melihat menantu dan cucu. Sebelum sempat melihat saya berkereta besar dan berumah besar serta keinginan lain yang besar-besar belaka. Ibu yang tidak pandai mengumpat, mengadu domba orang dan meminta itu dan ini dari abah. Saya dan adik-adik telah kehilangannya...dia telah pergi...dengan membawa kasih kami sekeluarga bersama. Al Fatihah...

Saya mahu menjadi ibu sedaya mungkin. Saya mahu jadi orang yang pemurah, yang hatinya ikhlas membantu, yang tidak pernah melawan kehendak dan kata-kata suami, yang kasih dan cinta ditaburkan sepenuhnya kepada rumahtangga dan anak-anak. Tetapi mampukah saya menjadi insan yang istimewa seperti mekar hijau itu...seperti ibu...seperti rakan-rakan saya yang lain yang hidup bahagia tanpa tercalar dengan ketamakan.

Saya menyedari ada sesetengah di kalangan kita yang terlalu tamakkan kasih sayang. Terlalu tamak sehingga sukar dikuis walau sedikitpun. Anda mahu buktinya...bukan berupa harta benda kerana semuanya telah ada...tetapi belaian dan kemanjaan. Sedangkan anda sendiri seharusnya sedar bukan semua manusia di dunia ini mampu mempamerkan kasihnya. Nilaian kasih terlalu subjektif. Kata-kata bukan jaminan kasih ikhlas kerana kata-kata mungkin berupaya membelai perasaan tetapi hayatnya tetap tidak panjang. Kebosanan datang dan kata-kata indah mulai pudar, timbul kecurigaan dan langsung lenyap dan hilang. Kelangsungannya...tiba perderitaan yang amat parah tak terubatkan.

Kesimpulannya...beralihlah mencintai mekar putih suci ini atau mekar komersial yang amat sederhana sifatnya. Hayatnya agak panjang...walaupun tak seistimewa mana. Mekar rerama ini boleh menjangkau 2 bulan hayatnya...jauh berbaloi menjagainya daripada mekar hijau yang tersangat istimewa dan sangat saya sayangi itu. Bertahan tidak sampai seminggu... layu dan tidak muncul-muncul lagi sehingga ke hari ini...demikian adanya... wassalam.



















Rabu, 4 Mac 2009

MENCIPTA DAMAI

Mungkin ada yang terdetik di hati mengapa cacti dan sakulen ini saya kaitkan dengan mencipta damai. Saya sangat tertarik dengan kelainan dan mencipta ruang di beranda rumah yang sangat terhad ini . Apalah sangat yang dapat saya lakarkan di ruang sempit beranda yang sekangkang kera ini ...kata orang. Tetapi bagi saya di sinilah kasih saya tertumpah dan amat berbaloi sekali memerah keringat menyemai benih kasih kepada pohon berduri ini.

Cacti sangat sinonim dengan diri saya. Bukan sukar untuk menanam dan membesarkannya. Cuma perlu di bajai 3 bulan sekali dan disiram 7 hari sekali. Ditinggalkan kalau sekadar sebulan tidak menjadi kudis. Dalam mudah-mudah begitu masih ada yang merungut...tak mau besar...jadi kuning...mati kandung air...dan macam-macam lagi. Segala macam kata berisi makna kesusahan. Tetapi tidak bagi saya. Mengapa?



Lihat sahaja keindahan antara cacti tertua yang saya belai dan belai setiap hari ini. Gambar ini diambil oleh rakan lama saya Hafliza pada tahun 2003 . Sekarang ini jauh lebih besar dan pernah berbunga 7 kuntum dalam satu masa. Ramai yang mungkin tidak percaya gambar ini diambil dari beranda sekangkang kera di rumah saya itu. Tetapi itulah hakikatnya. Cacti ini perlu belaian dan curahan kasih sayang. Benar dia berduri dan jika tertusuk sangat menyakitkan. Siapa sangka yang pohon berduri itu semuanya menguntumkan bunga indah yang punyai nilai dan ciri tersendiri yang sangat unik . Lihatlah sahaja cacti di atas ...punya kelopak bunga besar, mekar putih suci yang cantik menawan, berbau flora di hutan belantara, agak tengit tapi sangat bermakna buat saya . Malangnya kembangnya cuma 6 jam dan apabila layu ...terus meninggalkan dunia ini dan tak mungkin kembang-kembang lagi.

Saya sangat suka melayan fikiran...fikir dan terus berfikir dan sering keluar dari kotak kenyataan. Sarangnya sangat besar di dalam hati. Terhimpun banyak duri dan bunga-bunga cacti yang mekar dan layu itu. Ada hari mekar dan sering sahaja layu dan tidak mahu mekar-mekar lagi. Saya mencari sesuatu dalam hidup dan tidak pernah tahu sebenarnya apa yang saya cari. Agak pelik...tapi itulah hakikatnya. Mungkin kerana itulah Allah menganugerahkan saya keistimewaan yang satu ini. Kesabaran...membelai pohon-pohon berduri ini .

3 kuntum bunga mekar ini lambang kasih ...kata orang. Kasih saya kepada mereka-mereka yang tersangat saya cintai... tiada duanya di dunia ini. Anak-anak penyambung semangat saya yang berjuang untuk terus hidup. Suami penyambung rangkaian kasih yang tiada tara nilainya. Sesekali diusik rasa...tapi jika mengabaikannya mungkin membawa ganjaran yang lebih baik...saya usahakan, insyaallah. Puteri saya yang sulung berusia 17 tahun. Ain di panggil orang dan saya selesa memanggil akak sahaja. Periang, hebat di pentas pidato tapi adakalanya mampu menukar imej menjadi perengus paling berkuasa di dunia. Putera saya satu-satunya, Haziq, 15 tahun...hanya tahu bau harum tubuh ibu...berkulit hitam manis( boleh di colek), senyum menawan, punya hati murni lembut...menciumi saya setiap kali ada kesempatan. Puteri ketiga...Madiha, 14 tahun ...selamba, jari jemari penuh seni, identiti punya kelainan...sering menewaskan saya dengan kata-kata, tajam, penuh makna. Puteri bongsu...Syifaa' ,10 tahun...sangat manja...sering jadi perantara pelan abang dan kakak-kakaknya, rahsia jangan sekali dikongsi bersama. Hancussss... Lihatlah putera dan puteri saya ini...


Pembaca sendiri dapat menilai senyuman yang terukir di wajah anak-anak saya. Walau apapun tanggapan anda...anak-anak inilah penawar hidup, pemberi galakan dan penyambung hayat saya. Tangis, gurau senda dan tawa sering mencuit perasaan. Yang tinggal di rumah hanya seorang. Yang lain mengharungi hidup berdikari di asrama. Kesepian mengisi hidup saya...pencetus punca saya mulai mencipta damai menanam pepohon berduri dan beberapa spesis orkid di rumah. Ada kalanya anak-anak bersungut...beranda rumah dah jadi hutan simpan tropika dan gurun sahara di sebelahnya...tetapi saya tidak pernah berkecil hati. Ada juga kalanya jadi bahan ketawa dan gurauan apabila melihat cacti saya kelihatan pelik bentuknya dengan bunga yang mekar pelik juga adanya...



Tiada dapat digambarkan dengan kata-kata betapa seronoknya saya dapat berkongsi pengalaman menghayati ciptaan Allah yang satu ini. Pun begitu saya akui kebenarannya jika ada yang berpendapat betapa taksubnya saya dengan cacti. Saya tidak berminat membeli cacti yang besar. Bukan kerana harga...kerana saya tidak pernah berkira wang ringgit untuk memenuhi keinginan saya. Tetapi saya lebih menghargai pengalaman membesarkan, melihat tumbuhnya bilah-bilah duri seterusnya berkembangnya bunga-bunga itu di tangan saya. Sama seperti saya mendewasakan anak-anak saya .3 hingga 4 pasu RM10... harga di pasar malam Changlun dulunya. Kini koleksi dah memenuhi koutanya. Bukan telah memenuhi kouta 1,500 spesis...tetapi kerana ruang sekangkang kera itu telah penuh.


Pernah kedengaran tetapi saya tidak pasti daripada mulut siapa..." orang yang boleh menanam dan membesarkan cacti ini, adalah manusia yang sabar ". Saya berfikir dalam-dalam...benarkah? Adakah saya memenuhi kriteria itu? Yang saya tahu...saya insan pelenting...teramat...pantang dicuit. Tetapi mungkin ada kebenarannya...saya belajar menjadi insan yang terus sabar menanti dan menanti dalam hidup...menanti apa?...saya sendiri tak pasti...itulah saya...yang terus-terusan mencipta damai di hati sendiri...terima kasih kerana sudi membaca. Edisi seterusnya...MEKAR KASIH!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...