Khamis, 10 Mac 2022

HADIAH ULANGTAHUN KE-58


ASSALAMUALAIKUM pembuka kalam. Kais2 habuk dan debu. Agak lama tidak menjengah..tidak bermakna lupa. Cuma urusan dunia yg masih tak habis2..dikelek dan dijunjung sehingga tubuh tua ini semakin tenat dan penat.

Apapun alhamdulillah, hati ini tiada henti mengucapkan kesyukuran. Akan impian yang tertunai sudah. Bagaikan mimpi disiang hari.. tidur dan bangun bagai tidak berjejak di bumi nyata. Semakin teguhlah rasa percaya bahawa ajal, maut , jodoh pertemuan dan rezeki..sememangnya aturan Allah. DIA lah sebaik-baik perancang dan kita hanya mampu melakar impian. Suami tidak semena-mena mengajak aku menunaikan umrah yang tempuhkan kurang lebih 7 minggu sebelum perjalanan. Hadiah harijadi katanya..jangan kata cheq tak terkejut naaa... hihihi

Kami menjejakkan kaki di tanah haram pada 10hb Februari setelah memulakan perjalanan pada 9 hb Februari. Transit di Taif, menikmati kenyamanan udara dan keasyikan keindahan senibina tempat penginapan yang sehingga hari ini namanya menjadi tanda tanya..hahaha..puas bertanya..jawapan masih mencurigakan..jadi rasanya tak perlu ditulis di sini.  Urusan menukar sim kad dan install aplikasi eatmarna dan tawakalna dilaksanakan di sini. Kesyukuran dipanjatkan kepada illahi kerana tergerak hati membawa anakanda Syifaa bersama. Jadi tiada kegusaran mengurusi hal berkaitan dengan aplikasi. Alhamdulillah juga sahabat sekian lama turut bersama, Tuan Fuad serta pasangan ..Nita ..hati pun terasa sangat lapang.

Pengalaman meninggalkan tanahair dalam kekalutan kerana kurang seminggu mendapat perkhabaran perjalanan kami akan diteruskan setelah sekatan dilonggarkan. Macam2  perasaan hadir.. rasa tertekan sesungguhnya. Persiapan tak sempurna fizikal dan mental. Aku cuma mampu menenangkan diri..berulangkali menyebut..ya Allah permudahkan urusan kami ini..jika benar KAU menjemputku ke rumahmu ya Allah. Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan.

Biarlah gambar berbicara..ada masa akan ditambah catatan..jari jemari tua tak berdaya nak menulis dan otak pun semakin malas berfikir. masih banyak foto kenangan masih belum dimuatnaik. Ada masa akan cuba disimpan di sini. Sekali lagi... ALHAMDULILLAH untuk segala kurniaanMU buat kami sekeluarga ya ALLAH 



Video ini mengundang sebak di dada. Disediakan oleh si bongsu dengan cita rasa Koreanya...kurelakan saja. Semakin hari semakin rindu..semakin hari semakin sebak..😥😥😥



Semoga doa suamiku dimakbulkan Allah SWT..aamiin aamiin ya rabballalamin




































































Sabtu, 9 Oktober 2021

REZEKI 2020

ASSALAMUALAIKUM

Malam ni teringin sangat melakarkan cerita di atas layar terselindung ini. Dulunya pernah menjadi semacam escapism  perasaan lara. Kini layar ini semakin dilupakan kerana kesuntukan masa dek  mengejar urusan duniawi yang tak pernah berakhir.

Untuk permulaan kembalinya ke layar ini..ingin kucatatkan perasaan lega teramat sangat akan kejayaan anak-anak. Kejayaan melakarkan kerjaya setelah menamatkan pengajian masing-masing. 

Angah telah pulang ke tanahair pada bulan Februari 2020. Setelah hampir lima tahun merantau dan menuntut ilmu kejuruteraan mekanikal di Jerman. Bukan sedikit pengorbanan kami untuk melihat dia berjaya. Berkorban perasaan dan kerinduan seorang ibu. Setiap detik mendoakan semoga Allah lindungi dia, kuatkan imannya dan permudahkan segala urusan kehidupan dan pembelajarannya di sana. setahun ada berapa ratus hari ye.. sebegitu juga utusan whatsappnya kepada aku. Sekurang-kurangnya mengirim berita yang dia sihat. 

Kerisauan kadang-kadang di luar batasan dan terpaksa aku tarik kembali masuk ke batasnya. Alhamdulillah, Allah telah tunaikan doa seorang ibu yang kerdil ini. Dua bulan setelah kepulangan telah ditawarkan pekerjaan, sedangkan pada masa itu kita semua sedang menjalani PKP fasa 1. Bak kata orang kalau dah rezeki tak ke mana. Dapat pula bekerja di Kulim HiTech..tidaklah berjauhan sangat seperti dulu. Terasa lega teramat sangat..sekurang-kurangnya sudah ada punca rezeki sendiri. Pengajian pun dapat ditamatkan dengan jayanya walaupun sekadar di talian... Apapun kebanggaanku akan putera ini...berada di perantauan tanpa pernah meminta tambahan wang belanja..malah sering membawa pulang titipan dari luar negara. Bekerja untuk mendapatkan pengalaman, wang saku dan menyiapkan tesis di syarikat beroriantasikan kejuruteraan di sana. Kesyukuran kupanjatkan ya Allah... kerana menjaga dia untuk kami sekeluarga.. dan kini telah selamat kembali ke pangkuan bonda
😉😊

 





Akak pun telah melakar memori terindah buat diri..menamatkan pengajian Diploma Pentadbiran Pasca Siswazah di Institut Tadbiran Negara (INTAN). Melihat kegembiraannya mendatangkan sendu. Terbayang tangisan demi tangisan sebelum  menempa jaya. Alhamdulillah sudah melalui 3 upacara graduasi... dan mungkin tak pernah serik merempuh cabaran meneruskan pengajian. Kebanggaan seorang ibu terhadap anak sepertinya adalah akan kecintaannya yang mendalam dalam bidang biologi. Kekuatan semangatnya menongkah arus kehidupan, Sanggup menyusur alur batas bendang dan berlumuran lumpur demi mencari rezeki sendiri semasa bertugas sebagai pembantu pegawai sains MARDI.

Akak sangat kuat dan kekuatan mentalnya adalah sangat luar biasa. Dia kuat berusaha dan usahanya itulah yang membawa dia ke mercu jaya. Dia diuji dan diuji Allah..dan alhamdulillah..ujian itu mendewasakannya... ujian itu mendekatkannya kepada Allah dan doa yang berterusan tanapa jemu itu telah diperkenankan. Kelegaan yg tidak ternilai..terasa bagai batu di bahu melurut turun..dan perasaan tu tak tergambarkan dengan kata-kata. Upacara pelantikan telah dilalui dengan lancar... kegembiran buat kami sekeluarga ..dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.











Sudah lama tak menulis..terasa janggal. Tidak mengapalah..janji hutang telah tertunai..tercatat apa yang tersimpan dan ku akhiri dengan setinggi-tinggi kesyukuran kepada anugerah Illahi... ALHAMDULILLAH.. untuk  tahun 2020 yang berintikan seluas rezeki buat kami sekeluarga. 

Jumaat, 1 Mac 2019

RINDU...




Assalamualaikum WBT

Sunyi petang yang menjerat diri dan mengheret jari jemari untuk kembali menulis. Menulis lakaran hati yang rindunya tak kunjung padam. Rindu kepada satu-satunya putera...racun dan penawar dalam kehidupan,

Sudah 4 tahun di perantauan. Terlalu lamanya perpisahan. Membilang hari..menunggu siang berama berlalunya malam. Ibu cuma mampu mendoakan segala yang terbaik buatmu. Segala keputusan ibu sertakan dengan redha dan sokongan. Moga anakku yang dikasihi.. Angah pulang dengan kejayaan dan pengalaman. Mampu berbakti kepada diri..ibubapa..agama dan bangsa.

Rindu seorang ibu ...rindu hingga ke syurga. Semoga Angah sentiasa di bawah lindungNya... aamiin ya rabbal alamin..

Ibu tidak mampu menulis panjang... 😢😢😢 Angah, akak dan adik-adik adalah  kesayangan ibu di dunia dan akhirat

Wassalam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...