Jumaat, 4 November 2016

PERSINGGAHAN....





23 OKTOBER 2016 melakar kenangan buat kami sekeluarga. Meraikan sebuah kemenangan yang juangnya amat mahal, kerana pertaruhannya adalah masa, kesungguhan dan airmata.

Tahniah buat anakandaku Nurul 'Ain Nabilah. Sesungguhnya tidak pernah tercapai akal ibu untuk melihat anakanda naik ke pentas buat kedua kalinya. Bersalut jubah lakaran emas, dengan dua lingkaran di lengan itu. Berkali-kali bertanya pada diri, kenyataankah atau sekadar didasari illusi.

Perjuangan yang tidak boleh diperolokkan. Menjadi saksi kelesuan, kemarahan, kesakitan, dan tangisan kerana terpaksa mengharungi, menunggu dan merayu membuatkan aku sangat sayu menjelang hari-hari bahagia ini. Entah ke berapa kalinya airmataku menitis, tidak terbilang dan terukurkan. Bergenangan apabila segala kepahitan itu menggamit.

Terlerai sudah rasa lelah ibu.... alhamdulillah. Aku bersyukur dengan segala limpah rahmatMU Ya Allah. Menyuluh lorong-lorong kemudahan buat anakandaku ini, memberi dia kekuatan dan kesihatan serta kekentalan semangat dan kekuatan jiwa demi meraih sebuah kemenangan. 

Berada dalam dakapanmu beserta airmata yang luruhnya bak hujan pada hari bahagia ini... mendekatkan ibu pada satu persepsi yang lebih jelas. Betapa kau anakku, bertabah sepanjang perjalanan itu tanpa mengenal putus asa. Meneruskan perjuangan walaupun adakala bagai burung yang telah patah sebelah sayapnya... pun di bibir masih sempat menyebut..." Ibu... nanti Akak nak pakai topi leper pulak... bagi Akak singgah rehat sekejap naaa"... Allahu.. yang pastinya ibu tidak sekuat itu anakku... dan nampaknya dari sekarang aku perlu persiapkan diriku untuk bersama-samanya mengharungi gelombang dan gelora yang lebih besar. Semoga Allah sentiasa merahmati segala usahamu anakku...aamiin...








Rabu, 21 Januari 2015

PELIHARAKAN DIA UNTUKKU...







Tidak dapat digambarkan perasaan seorang ibu sepertiku... hampir dua minggu ini menatap foto-foto kecil tertera di atas...sebak menusuk dada..terasa pedih . Tidak seperti selalu...aku akan mengabadikan foto-foto kenangan di facebook setiap kali pertemuan dengan permata hatiku ini.. namun detik bersama yang kami rakamkan di akhir pertemuan sebelum jarak dan masa memisahkan ini... sangat sukar untuk kukongsikan bersama. Terasa lebih baik kusimpan dalam lipatan hati kecilkan yang igaunya hanya untuk mereka.

Tanggal 8 Januari 2015 menyaksikan sebuah perpisahan..yang sesungguhnya kuharapkan ianya adalah perpisahan sementara. Angah telah pergi...jauh meninggalkan kami demi sebuah perjuangan. Setelah mengorbankan hampir 2 setengah tahun bertarung untuk melepasi A Level Germany Intec (ALG) yang mana setiap hari merupakan debaran kesat buatkan.Aku hanya mampu memanjatkan doa demi doa,,,sujud demi sujud..nasihat dan galakan silih berganti tanpa henti..entah ke berapa ribuan kalinya.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Penyayang... Angah dapat mengatasi segala rintangan yang datang walau kelihatannya amat perit dan menyiksakan. Dalam perjalanan yang jauh itu, ramai yang tumpas di pertengahan dan dipenghujung jalan..dan setiap kali perjuangan itu lah terasa sesaknya dadaku menghadapinya. 

Cabaran tetap datang ... galangan peperiksaan berlalu dengan jaya... hadir pula penantian peruntukan pembiayaan MARA yang amat panjang. Tarikh keberangkatan tergantung... pembiayaan masih sekadar janji...dan ku beranikan diri untuk menyediakan persiapan sedikit demi sedikit sekadar wang yang ada...dengan harapan tidak menjadi bebanan di saat akhir. Alhamdulillah..walaupun dengan masa yang singkat, tidak genap pun dua minggu sebelum keberangkatan pergi,,,masuklah pembiayaan dan tarikh keberangkatan. Terasa sedikit lega... walaupun hakikatnya sesaknya kepala dan akal.. bertarung memikirkan hampir setiap aspek seorang diri. Terasa sangat letih,, sudah hilang segala malu...bertanya itu dan ini kepada rakan-rakan yang punya pengalaman ke luar negara tentang keperluan dan sebagainya kerana maklumat yang diperolehi dari penaja kurang jelas waima aku sendiri tidak punya pengalaman. En suami..cuma sibuk mengatakan tidak perlu bawa barang banyak...nanti beli barang di sana...seolah-olahnya jutawan yang dapat menyalurkan jutaan ringgit bersama angah...

Aku pekakkan telinga dan cuba menumpukan perhatian untuk persiapan. Hampir setiap malam dan petang seminggu terakhir itu kami berusaha menyusun barang keperluan... membeli dacing, dengan harapan tidak terlebih berat bagasi yang dibawa. Barang-barang disusun dan dikeluarkan silih berganti...sehingga pada malam sebelum berangkat...aku sudah terlalu letih..memasuk dan mengeluarkan..sesekejap boleh di zip...sesekejap tidak boleh...akhirnya aku tinggalkan semua dan masuk tidur. Akhirnya Angah menyusun semua sendiri dan bila terjaga jam 5.00 pagi..kulihat beg itu sudah terzip kemas. Aku menarik nafas lega...walaupun hati tersentuh kerana kesabaranku sudah semakin luntur malam kelmarinnya

Kami berangkat bali balik ke kampung 7 Jan dan ke KLIA  lebih kurang jam 5.30 petang 8 Jan. Perasaan bercampur baur. Menanti dan menanti detik berlepas. Tajaan MARA cuma 5 orang, FELDA 2 orang dan tajaan JPA 44 orang. Agak risau juga menanti, kerana pelajar-pelajar JPA sudah diurusi sejak jam 6.00 petang. Agen MARA datang hampir jam 8.30 malam...taklimat ringkas diberi...check in bagasi dan kami diberi ruang untuk bersama. Sanak saudara yang mengiringi pun letih mundar mandir... rakan-rakan Angah yang berada di universiti berdekatan datang..mengambil kesempatan bertemu di saat-saat akhir dan pada jam 9.30.. anakandaku ku itu diminta untuk meninggalkan kami ke balai berlepas,

Kusangkakan aku sudah cukup kuat menghadapi perpisahan itu...rupanya tidak...walau bagaimanapun...tangisan itu masih dapat ku kawal dengan harapan Angah tidak terlalu sedih meninggalkan kami. Aku menyaksikan sedu sedan sanak saudara...terutama adikku Suhaili dan suami... kerana akrab yang terlalu. Kulihat suamiku berlari-lari kecil mengejar kelibat Angah hingga hilang dari pandangan. Kami mengiringinya pergi dengan pandangan mata sehingga aerotrain yang dinaikinya berpatah balik dan kami pun berangkat pulang.

Airmata masih dapat kutahan...walaupun titisnya dapat kurasakan ke dalam hati. Namun sejenak terjaga dari tidur keesokkan paginya, dengan kiriman rakaman berangkatnya MH6 yang dirakamkan oleh rakan Akak yang bertugas di terminal antarabangsa itu, airmata terus berderaian...sederas derunya MH6 dilandasan. 

Dan... 2 minggu ini kebelakangan ini...kerinduan terus menggamit...bilik tidur Angah tidak berani dijengah selalu... sedih menggamit... ku sangkutkan baju T dan seluar Angah yang tidak berbasuh... ada masa rindu datang...dipeluk dicium...Ya Allah Ya Tuhanku...hanya satu pintaku...pelihakan anak ini untukku...Amin Amin... Ya Rabbalalamin..


KASIH IBU SAMPAI KE SYURGA
cacti5000 
11.15am 
21 JAN 2015


Khamis, 20 Februari 2014

Buang habuk lagiiii...





2014 dah pun...

Sudah agak lama tidak menulis...sangat janggal terasa.. Jari pun rasa keras je nak menaip ni...idea tak ada..tapi memang  teringin sangat nak menurunkan perasaan di sini

Haih...lelah terasa sejak berulang alik ke tempat kerja. Kereta pun semakin semput. Masih ada dua tahun lagi untuk menjelaskan piutangnya. Mohon sesangat kepada Illahi...semoga Serena tu bertahan...berbakti kepada tuannya yang semakin kehilangan kudrat ini.

Tahun 2014 ini aku jejaki dengan seribu rasa curiga. Permulaan tahun yang menggetarkan perasaan..sedikit mengguris..tetapi aku tidak mahu dan cuba mengelak diri dari bersangka buruk akan kehendak yang Esa. Dugaan bila 4 permohonan Akak untuk praktikalnya..tidak berjawab..setelah sekian lama memohon. Deeha pulak mendapat keputusan yang kurang cemerlang dalam Muet. Sipau...keputusan  peperiksaannya kurang memberansangkan..

Hanya tuhan yang tahu...segala-galannya bermain deras difikiranku. Setiap hari berputar dan putarannya bagai piring hitam yang hanya melagukan lagu-lagu sendu dan pilu.

Rupanya Allah setia mendengar rintihan hatiku. Minggu ni dadaku rasa lapang selapang2nya. Alhamdulillah..Akak telah mendapat tempat praktikal di Ipharm USM ..tempat LI yang diidaminya...bebaloi sungguh menanti dan berdoa. Deeha pulak membawa perkhabaran yang menggembirakan..apabila dekan mengumumkan bahawa Muet tidak akan diambilkira dalam pemilihan kursus di peringkat ijazah dan mereka tidak dibenarkan memohon UPU..bermakna secara automatis pelajar2 asasi alam bina akan melanjutkan pelajaran  di UM di peringkat ijazah...cuma belum ditetapkan kursus dan menurut Deeha kemungkinan dalam bidang arkitektur atau quantity surveyer atau estet management. Deeha pun pernah  berkata..dia redha sahaja mana-mana kursus yang ditawarkan..

Angah pulak telah melepasi satu tahap kritikal ...speaking test german ...slip dari university of cambrige telah tiba..alhamdulillah...menanti ketibaan trial exam seminggu dua lagi dan in shaa allah ...aku akan terus berdoa

Sipau..perlu banyak usaha untuk bangkit semula...terlalai kah...atau sengaja melalaikan dirinya...hanya Allah yang tahu. Aku akan berusaha menghantarkan ke kelas tuisyen. Aku percaya Allah akan bersamaku di mana jua berada...mendengar pohonku untuk anak-anak yang dikasihi...

Suamiku..alhamdulillah..walaupun warded semalaman...dalam keadaan sihat. Cuma rutin memakan ubat harus diteruskan untuk kesinambungan kehidupan ini....

Herm...kesihatan aku..macam biasa...ada dos ubat yang harus ditambah. Aku seperti aku yang dulu...redha menerima segala cabaran mendatang. Selagi bernyawa...selagi mampu...walau harus bertongkat...akan cuba kuselamatkan kehidupan, harapan dan cita-cita anak-anak yang sangat kukasihi. 

Yang aku pohonkan semoga dibukakan semua lorong kemudahan untuk anak-anakku mengharungi kehidupan kerana KASIH SAYANGKU terbina hanya untuk mereka....amin....


Sabtu, 31 Ogos 2013

countdown...


Inilah tempoh kritikal buat aku...membilang hari..membilang detik..tinggallah aku seorang diri..siang berganti malam..malam berganti siang.

Akak akan balik ke trengganu 5 September...setelah begitu lama bersamaku..makan, tidur dan ketawa bersama. Berkicauan bercerita..membuntuti aku ke ofis sekali sekala..asyik berderaian dengan senda dan gurauan.

Deeha pun bulan Oktober baru kembali...begitu juga Angah. Sipau pun balik sebulan dua kali...suami seminggu dua kali...kesunyian bakal menjemputku.

Hermmm...aduhai perasaan..silalah bertenang...ada DIA disisimu...ada kesepian yang memberi banyak ruang untukku berduaan dengan Nya...memohon keampunan akan dosa-dosa masa lalu..merayu restu..berkati anak-anakku ini semoga berjaya melayari cabaran kehidupan yang bertalu-talu datangnya...

Ya Rabb...hanya diKAU yang tahu perasaanku...yang sedang menanti dan membilang hari...berilah aku kekuatan...amin...

Ahad, 18 Ogos 2013

PELIHARALAH MEREKA...


Aidilfitri 2013 diraikan agak hambar kerana mak baru sahaja meninggalkan kami..mak dan abah mertua juga tidak sihat...nampak terlalu uzur. Kami cuma beraya di dua rumah sahaja...satu sebelah aku dan satu lagi sebelah suami.

Sejak Ramadhan ada badai melanda...membawa ke Syawal...namun aku fikir..dugaan Allah tertuju buatku yang sangat kerdil ini. Dek selalu teruji aku dah jadi mangli...sangat2 mangli.. Sesungguhnya redha lah aku...amin..

Foto kami sekeluarga dengan abah yang kini sendirian dalam usia menjelang 80. Alhamdulillah abah masih sihat..masih boleh menguruskan diri. Drive ke sana dan ke mari. Anak2 aku kasihkannya...terutama Along..Apa sahaja nasihat atok disimpan baik2 di benaknya. Ramadhan berjaya dihabiskan bersama atok yang sangat dikasihinya...alhamdulillah.

Diharap Syawal akan datang masih ada lagi foto seperti ini. Kami bernasib baik kerana Sipau sangat berusaha untuk merakamkan memori2 indah bersama keluarga. Bila aku renung foto ini..kelihatannya anak2ku sudah semakin dewasa..sebaya nampaknya...dan bila memikirkan jauhnya mereka dariku.. hati mula menangis...terbitlah kerinduan..kegelisahan naluri seorang ibu menimbuni ceruk hati.

Ya Allah..hanya padamu kuberserah..peliharalah mereka Ya Allah..sesungguhnya aku tidak mampu..sesungguhnya aku tidak berdaya..amin...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...