Jumaat, 1 Mac 2019

RINDU...




Assalamualaikum WBT

Sunyi petang yang menjerat diri dan mengheret jari jemari untuk kembali menulis. Menulis lakaran hati yang rindunya tak kunjung padam. Rindu kepada satu-satunya putera...racun dan penawar dalam kehidupan,

Sudah 4 tahun di perantauan. Terlalu lamanya perpisahan. Membilang hari..menunggu siang berama berlalunya malam. Ibu cuma mampu mendoakan segala yang terbaik buatmu. Segala keputusan ibu sertakan dengan redha dan sokongan. Moga anakku yang dikasihi.. Angah pulang dengan kejayaan dan pengalaman. Mampu berbakti kepada diri..ibubapa..agama dan bangsa.

Rindu seorang ibu ...rindu hingga ke syurga. Semoga Angah sentiasa di bawah lindungNya... aamiin ya rabbal alamin..

Ibu tidak mampu menulis panjang... 😢😢😢 Angah, akak dan adik-adik adalah  kesayangan ibu di dunia dan akhirat

Wassalam

Isnin, 15 Oktober 2018

ANAK INI...



Assalamualaikum

Anak ini... hadirnya membawa seribu pengertian dalam hidupku... mengajarku tentang erti redha, sabar, tabah dan segala-galanya tentang resam menghadapi hidup di dunia ini. 


Kehadirannya di rahimku tidak dijangkakan... terlalu awal dengan adanya si abang yang baru berusia 8 bulan. Ada titis airmata mengiringi berita..bukan kerana benci... tetapi kerana si abang masih menyusu dan tekaknya tidak mahu menerima susu formula. Aku jadi gusar memikirkan nasib si abang. Apapun ternyata kegusaran itu adalah usikan-usikan hiperbola yang akhirnya dapat diuraikan. Yang pastinya hadir dia membawa rezeki.

Membesarnya dengan jerih payah... memaksa kami mengusungi bersama kakak dan abang ke hospital sekurang-kurang 2 minggu sekali. Tidak kira siang atau malam.. senja atau dinihari... memerlukan bantuan wap ventolin untuk melegakan sesak di dada. Diselangi juga dengan demam bronkitis, penyakit kulit yang datang dan pergi... membuat diri kelihatan comot dan tidak terurus. Pada masa itu..pun aku berkira-kira ...masih mengusik diri... mampukah anak ini membesar secara normal seperti anak-anak yang lain.

Natijah kesihatan yang tidak menentu.. urusan menuntut ilmu diperingkat sekolah rendah juga sering terganggu. Pencapaian yang sederhana  dan pengurusan diri sedikit kacau...berbadan kecil dan cuba menyesuaikan diri dengan kawan-kawan lain yang sihat sepenuhnya. Yang terbayang di mataku selalu... wajah yang comot dengan tudung senget yang agak besar dari tubuh.. kain sekolah yang menyapu laluan... baju sekolah yang sudah bertukar menjadi kelabu... pun selalu buat aku meneka.. bagaimanakah kesudahannya anakku ini

Andaianku tentang kemungkinan yang sedikit negatif itu semakin berkurangan apabila anak ini semakin membesar. Sedikit demi sedikit pencapaian akademiknya meningkat seiringan dengan kesihatannya yang semakin kurang membimbangkan. Kejutan demi kejutan dicipta.. sehingga en. suami sering menasihatkanku untuk kurangkan kebimbangan kerana pecutan akhir anak ini selalunya menjadi.  Semakin hari dia semakin petah berkata-kata...walaupun sekali sekala kedengaran tetapi sering sahaja berisi bom jangka. Mungkin kerana  persekitaran... sudah tinggal di asrama penuh dan berhijrah pula ke Universiti Malaya menjadi pemangkin perubahannya. 

Hari-hari sebelum ke persinggahan di foto ini adalah cabaran yang penuh gelak dan tawa...sendu dan tangis. Di atas pilihan sendiri dan kehendak sendiri anakku ini melalui segala rintangan bertarung di gelanggang fakulti seni bina Universiti Malaya yang kehendaknya pernah aku sanggahi. Dek sempitnya ruang dan peluang meneruskan pengajian dalam bidang arkitektur.. dia meneruskan pengajian dalam bidang Ukur Bangunan. Aku yang dalam kesamaran... sering pula berteka-teki...mahu ke mana arahnya setelah tamat pengajian. Tanda tanya sering sahaja melintas dan menjerat aku dalam kebimbangan...apatah lagi...untuk memohon tempat latihan industri cuma... selaku pengemis ke sana dan ke mari. Sering sahaja kedengaran tangisan kecil... namun dia terus bangkit setelah setiap tngisan itu dilepaskan kepadaku.

Rahmat Allah... datangnya bagai salju mengusap hati kami... sesungguhnya apa yang dikatakan oleh arwah abah tentang rezeki anak ini ternyatanya benar. Sebelum tamat latihan industri sudah ditawarkan pekerjaan. Kursus di universiti telah ditamatkan lebih awal 6 bulan. Walaupun bukan dalam sektor kerajaan... aku amat bersyukur.. kerana dia sudah agak selesa dengan adanya ruang kerja di pejabat yang selesa dan pendapatan yang boleh menampung kehidupannya. Pun.. masih berusaha untuk mengirimi wang sara hidup katanya... untuk aku dan suami.. 

Kini menantikan 22 Oktober 2018... kebetulan... bulan kelahirannya. Kami sekeluarga sangat teruja menghadapi detik syahdu ni... menyaksikan anak kecil yang dulunya comot... sudah pandai berdandan dan mengurusi hidup sendiri... bakal naik ke pentas untuk dikurniakan Ijazah Sarjanamuda Ukur Bangunan. 

Doaku anak... teruslah kuat dan tabah menghadapi cabaran. Ibu tahu walaupun bertubuh kecil... kekuatan azammu segarang dan sekuat harimau .. bila-bila masa sahaja mampu menerpa dan mencipta jaya. Setakat ini sahaja catatanku. Semoga Allah merahmatimu selalu... amin amin ya rabbal allamin..









Jumaat, 6 Julai 2018

DEDIKASINYA UNTUKMU...

Assalamualaikum wbt


Tergeraknya hati ingin membuka semula lembaran ini setelah sekian lama tirainya tertutup. Sesungguhnya kerinduan untuk menulis ini semaraknya sudah lama... namun kesibukan duniawi yang terlalu ini menjerat kaki dan tangan... agaknye laaa... hehehe

Foto di atas adalah foto terkini yg dirakamkan pada hari raya aidilfitri 2018. Perasaan semasa itu macam berada di musim bunga... kembang je hati...semua anak berada di sisi. Cuma sebak, sedih dan pilu menghiris di pagi hari raya... kerana abah telah tiada... arwah baru sahaja meninggalkan kami pada 22 Januari 2018. 

Angah pulang beraya di tanah air...membuat kejutan untuk aku, suami dan akak. Alang dan Sipau turut bersekongkol merahsiakan kepulangan itu. Terkejut bukan kepalang...berbaur rasa gembira dan sedih. Kali ini ziarah ke perkuburan menjadi suasana paling sayu dan penuh sendu. Tangisan Angah menyesakkan hati dan perasaan kami. Tak tergambarkan dek kata-kata. Mungkin Angah terkilan, kerana tidak berada di sisi abah di saat-saat akhir pemergiaannya. Kami memberi ruang untuk angah meluahkan rasa... semoga apa yang terpendam,  terlerai jua hendaknya.

Kali ini kami bergerak beraya ke rumah Mak Andak selepas solat sunat hari raya. Terasa sangat janggal namun itulah yang terbaik agar kepergiaan abah kurang dirasai. Seronok rasanya...masih ada ibu saudara untuk diziarahi..menumpang kasih semasa masih ada. 

Kami bergerak pulang ke Tapah Road untuk meraikan hari raya di sana. Untung suamiku punya adik beradik yang ramai...meriah dengan bbq...adik beradik daqn anak saudara sudah cukup memenuhi rumah. Semua berganding bahu menyediakan juadah...pun begitu...kekosongan tetap terasa... kedua-dua orangtua telah tiada.

Walaupun dah hampir 3 minggu hari raya berlalu... namun rasanya tetap bersisa. Benarlah kata orang... apabila kedua ibubapa kita telah tiada... ada semacam rasa sunyi yang tidak tergambarkan dek kata-kata. Teramatlah benarnya. Tiada lagi kedengaran bebelan abah seawal pagi... tiada lagi sarapan lengkap di meja sebaik bangun dari tidur... tiada terbau lagi semerbak wangian abah... tiada lagi deruman enjin kereta yang bergerak mahu ke pasar. Segala-galanya tinggal hanya kenangan. Hari raya ini sebenarnya dedikasi kenangannya teruntuk buatmu Abah... hanya untukmu...al fatihah...semoga rohmu dicucuri rahmat...aamiin.. MOHAMAD ARIF@ARIP BIN SUTAN ADIL.. IC LAMA.. 1110555... 


Foto hari raya terakhir arwah  Abah bersama cucu-cucunya..

Jumaat, 7 April 2017

KUTUNGGU HADIRMU....






Musim bunga di KMP kini muncul lagi. Setelah sekian kalinya menyaksikan kehadiran Sakura Malaysia ini. maka hati sering saja berbisik, tertunggu-tunggu kehadiran mekar-mekar indah yang nyaman memujuk hati.
Hampir sahaja hati ini tewas dan kecewa... namun seolahnya mengerti hati dan rasa...maka ia hadir juga berseri dan indah berseni. 

Hadirnya mengukir seribu kenangan masa lalu... bersama anakanda generasi terdahulu...membuat hati rindu dan terharu. Terbayang keterujaan mereka...yang terkinja2 riang...bagaikan anak-anak kecil mahu mendapatkan ole2 berupa mainan. Kerapkali memohon agar kelas ditamatkan lebih awal ....mahu merakam foto untuk disimpan sebagai kenangan...aku tewas terkena pujukan... aku tertewas kerana rayuan.

Pun saat-saat bunga sedang berkembang ini... tanpa segan silu... aku menghalakan kamera yang menumpang di telefon bimbitku yang semakin tua ini. I

Indahmu sementara cuma...pun aku merakamkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana memanjangkan hayatku ini untuk menyaksikan keindahan kuntuman ini mekar saban tahun. Alhamdulillah...in shaa Allah..bertandang lagi tahun depan ye... TAKOMA... kutunggu kehadiranmu musim hadapan.  


Jumaat, 4 November 2016

PERSINGGAHAN....





23 OKTOBER 2016 melakar kenangan buat kami sekeluarga. Meraikan sebuah kemenangan yang juangnya amat mahal, kerana pertaruhannya adalah masa, kesungguhan dan airmata.

Tahniah buat anakandaku Nurul 'Ain Nabilah. Sesungguhnya tidak pernah tercapai akal ibu untuk melihat anakanda naik ke pentas buat kedua kalinya. Bersalut jubah lakaran emas, dengan dua lingkaran di lengan itu. Berkali-kali bertanya pada diri, kenyataankah atau sekadar didasari illusi.

Perjuangan yang tidak boleh diperolokkan. Menjadi saksi kelesuan, kemarahan, kesakitan, dan tangisan kerana terpaksa mengharungi, menunggu dan merayu membuatkan aku sangat sayu menjelang hari-hari bahagia ini. Entah ke berapa kalinya airmataku menitis, tidak terbilang dan terukurkan. Bergenangan apabila segala kepahitan itu menggamit.

Terlerai sudah rasa lelah ibu.... alhamdulillah. Aku bersyukur dengan segala limpah rahmatMU Ya Allah. Menyuluh lorong-lorong kemudahan buat anakandaku ini, memberi dia kekuatan dan kesihatan serta kekentalan semangat dan kekuatan jiwa demi meraih sebuah kemenangan. 

Berada dalam dakapanmu beserta airmata yang luruhnya bak hujan pada hari bahagia ini... mendekatkan ibu pada satu persepsi yang lebih jelas. Betapa kau anakku, bertabah sepanjang perjalanan itu tanpa mengenal putus asa. Meneruskan perjuangan walaupun adakala bagai burung yang telah patah sebelah sayapnya... pun di bibir masih sempat menyebut..." Ibu... nanti Akak nak pakai topi leper pulak... bagi Akak singgah rehat sekejap naaa"... Allahu.. yang pastinya ibu tidak sekuat itu anakku... dan nampaknya dari sekarang aku perlu persiapkan diriku untuk bersama-samanya mengharungi gelombang dan gelora yang lebih besar. Semoga Allah sentiasa merahmati segala usahamu anakku...aamiin...








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...