Jumaat, 4 November 2016

PERSINGGAHAN....





23 OKTOBER 2016 melakar kenangan buat kami sekeluarga. Meraikan sebuah kemenangan yang juangnya amat mahal, kerana pertaruhannya adalah masa, kesungguhan dan airmata.

Tahniah buat anakandaku Nurul 'Ain Nabilah. Sesungguhnya tidak pernah tercapai akal ibu untuk melihat anakanda naik ke pentas buat kedua kalinya. Bersalut jubah lakaran emas, dengan dua lingkaran di lengan itu. Berkali-kali bertanya pada diri, kenyataankah atau sekadar didasari illusi.

Perjuangan yang tidak boleh diperolokkan. Menjadi saksi kelesuan, kemarahan, kesakitan, dan tangisan kerana terpaksa mengharungi, menunggu dan merayu membuatkan aku sangat sayu menjelang hari-hari bahagia ini. Entah ke berapa kalinya airmataku menitis, tidak terbilang dan terukurkan. Bergenangan apabila segala kepahitan itu menggamit.

Terlerai sudah rasa lelah ibu.... alhamdulillah. Aku bersyukur dengan segala limpah rahmatMU Ya Allah. Menyuluh lorong-lorong kemudahan buat anakandaku ini, memberi dia kekuatan dan kesihatan serta kekentalan semangat dan kekuatan jiwa demi meraih sebuah kemenangan. 

Berada dalam dakapanmu beserta airmata yang luruhnya bak hujan pada hari bahagia ini... mendekatkan ibu pada satu persepsi yang lebih jelas. Betapa kau anakku, bertabah sepanjang perjalanan itu tanpa mengenal putus asa. Meneruskan perjuangan walaupun adakala bagai burung yang telah patah sebelah sayapnya... pun di bibir masih sempat menyebut..." Ibu... nanti Akak nak pakai topi leper pulak... bagi Akak singgah rehat sekejap naaa"... Allahu.. yang pastinya ibu tidak sekuat itu anakku... dan nampaknya dari sekarang aku perlu persiapkan diriku untuk bersama-samanya mengharungi gelombang dan gelora yang lebih besar. Semoga Allah sentiasa merahmati segala usahamu anakku...aamiin...








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...