Isnin, 15 Oktober 2018

ANAK INI...



Assalamualaikum

Anak ini... hadirnya membawa seribu pengertian dalam hidupku... mengajarku tentang erti redha, sabar, tabah dan segala-galanya tentang resam menghadapi hidup di dunia ini. 


Kehadirannya di rahimku tidak dijangkakan... terlalu awal dengan adanya si abang yang baru berusia 8 bulan. Ada titis airmata mengiringi berita..bukan kerana benci... tetapi kerana si abang masih menyusu dan tekaknya tidak mahu menerima susu formula. Aku jadi gusar memikirkan nasib si abang. Apapun ternyata kegusaran itu adalah usikan-usikan hiperbola yang akhirnya dapat diuraikan. Yang pastinya hadir dia membawa rezeki.

Membesarnya dengan jerih payah... memaksa kami mengusungi bersama kakak dan abang ke hospital sekurang-kurang 2 minggu sekali. Tidak kira siang atau malam.. senja atau dinihari... memerlukan bantuan wap ventolin untuk melegakan sesak di dada. Diselangi juga dengan demam bronkitis, penyakit kulit yang datang dan pergi... membuat diri kelihatan comot dan tidak terurus. Pada masa itu..pun aku berkira-kira ...masih mengusik diri... mampukah anak ini membesar secara normal seperti anak-anak yang lain.

Natijah kesihatan yang tidak menentu.. urusan menuntut ilmu diperingkat sekolah rendah juga sering terganggu. Pencapaian yang sederhana  dan pengurusan diri sedikit kacau...berbadan kecil dan cuba menyesuaikan diri dengan kawan-kawan lain yang sihat sepenuhnya. Yang terbayang di mataku selalu... wajah yang comot dengan tudung senget yang agak besar dari tubuh.. kain sekolah yang menyapu laluan... baju sekolah yang sudah bertukar menjadi kelabu... pun selalu buat aku meneka.. bagaimanakah kesudahannya anakku ini

Andaianku tentang kemungkinan yang sedikit negatif itu semakin berkurangan apabila anak ini semakin membesar. Sedikit demi sedikit pencapaian akademiknya meningkat seiringan dengan kesihatannya yang semakin kurang membimbangkan. Kejutan demi kejutan dicipta.. sehingga en. suami sering menasihatkanku untuk kurangkan kebimbangan kerana pecutan akhir anak ini selalunya menjadi.  Semakin hari dia semakin petah berkata-kata...walaupun sekali sekala kedengaran tetapi sering sahaja berisi bom jangka. Mungkin kerana  persekitaran... sudah tinggal di asrama penuh dan berhijrah pula ke Universiti Malaya menjadi pemangkin perubahannya. 

Hari-hari sebelum ke persinggahan di foto ini adalah cabaran yang penuh gelak dan tawa...sendu dan tangis. Di atas pilihan sendiri dan kehendak sendiri anakku ini melalui segala rintangan bertarung di gelanggang fakulti seni bina Universiti Malaya yang kehendaknya pernah aku sanggahi. Dek sempitnya ruang dan peluang meneruskan pengajian dalam bidang arkitektur.. dia meneruskan pengajian dalam bidang Ukur Bangunan. Aku yang dalam kesamaran... sering pula berteka-teki...mahu ke mana arahnya setelah tamat pengajian. Tanda tanya sering sahaja melintas dan menjerat aku dalam kebimbangan...apatah lagi...untuk memohon tempat latihan industri cuma... selaku pengemis ke sana dan ke mari. Sering sahaja kedengaran tangisan kecil... namun dia terus bangkit setelah setiap tngisan itu dilepaskan kepadaku.

Rahmat Allah... datangnya bagai salju mengusap hati kami... sesungguhnya apa yang dikatakan oleh arwah abah tentang rezeki anak ini ternyatanya benar. Sebelum tamat latihan industri sudah ditawarkan pekerjaan. Kursus di universiti telah ditamatkan lebih awal 6 bulan. Walaupun bukan dalam sektor kerajaan... aku amat bersyukur.. kerana dia sudah agak selesa dengan adanya ruang kerja di pejabat yang selesa dan pendapatan yang boleh menampung kehidupannya. Pun.. masih berusaha untuk mengirimi wang sara hidup katanya... untuk aku dan suami.. 

Kini menantikan 22 Oktober 2018... kebetulan... bulan kelahirannya. Kami sekeluarga sangat teruja menghadapi detik syahdu ni... menyaksikan anak kecil yang dulunya comot... sudah pandai berdandan dan mengurusi hidup sendiri... bakal naik ke pentas untuk dikurniakan Ijazah Sarjanamuda Ukur Bangunan. 

Doaku anak... teruslah kuat dan tabah menghadapi cabaran. Ibu tahu walaupun bertubuh kecil... kekuatan azammu segarang dan sekuat harimau .. bila-bila masa sahaja mampu menerpa dan mencipta jaya. Setakat ini sahaja catatanku. Semoga Allah merahmatimu selalu... amin amin ya rabbal allamin..









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...