Sabtu, 9 Oktober 2021

REZEKI 2020

ASSALAMUALAIKUM

Malam ni teringin sangat melakarkan cerita di atas layar terselindung ini. Dulunya pernah menjadi semacam escapism  perasaan lara. Kini layar ini semakin dilupakan kerana kesuntukan masa dek  mengejar urusan duniawi yang tak pernah berakhir.

Untuk permulaan kembalinya ke layar ini..ingin kucatatkan perasaan lega teramat sangat akan kejayaan anak-anak. Kejayaan melakarkan kerjaya setelah menamatkan pengajian masing-masing. 

Angah telah pulang ke tanahair pada bulan Februari 2020. Setelah hampir lima tahun merantau dan menuntut ilmu kejuruteraan mekanikal di Jerman. Bukan sedikit pengorbanan kami untuk melihat dia berjaya. Berkorban perasaan dan kerinduan seorang ibu. Setiap detik mendoakan semoga Allah lindungi dia, kuatkan imannya dan permudahkan segala urusan kehidupan dan pembelajarannya di sana. setahun ada berapa ratus hari ye.. sebegitu juga utusan whatsappnya kepada aku. Sekurang-kurangnya mengirim berita yang dia sihat. 

Kerisauan kadang-kadang di luar batasan dan terpaksa aku tarik kembali masuk ke batasnya. Alhamdulillah, Allah telah tunaikan doa seorang ibu yang kerdil ini. Dua bulan setelah kepulangan telah ditawarkan pekerjaan, sedangkan pada masa itu kita semua sedang menjalani PKP fasa 1. Bak kata orang kalau dah rezeki tak ke mana. Dapat pula bekerja di Kulim HiTech..tidaklah berjauhan sangat seperti dulu. Terasa lega teramat sangat..sekurang-kurangnya sudah ada punca rezeki sendiri. Pengajian pun dapat ditamatkan dengan jayanya walaupun sekadar di talian... Apapun kebanggaanku akan putera ini...berada di perantauan tanpa pernah meminta tambahan wang belanja..malah sering membawa pulang titipan dari luar negara. Bekerja untuk mendapatkan pengalaman, wang saku dan menyiapkan tesis di syarikat beroriantasikan kejuruteraan di sana. Kesyukuran kupanjatkan ya Allah... kerana menjaga dia untuk kami sekeluarga.. dan kini telah selamat kembali ke pangkuan bonda
😉😊

 





Akak pun telah melakar memori terindah buat diri..menamatkan pengajian Diploma Pentadbiran Pasca Siswazah di Institut Tadbiran Negara (INTAN). Melihat kegembiraannya mendatangkan sendu. Terbayang tangisan demi tangisan sebelum  menempa jaya. Alhamdulillah sudah melalui 3 upacara graduasi... dan mungkin tak pernah serik merempuh cabaran meneruskan pengajian. Kebanggaan seorang ibu terhadap anak sepertinya adalah akan kecintaannya yang mendalam dalam bidang biologi. Kekuatan semangatnya menongkah arus kehidupan, Sanggup menyusur alur batas bendang dan berlumuran lumpur demi mencari rezeki sendiri semasa bertugas sebagai pembantu pegawai sains MARDI.

Akak sangat kuat dan kekuatan mentalnya adalah sangat luar biasa. Dia kuat berusaha dan usahanya itulah yang membawa dia ke mercu jaya. Dia diuji dan diuji Allah..dan alhamdulillah..ujian itu mendewasakannya... ujian itu mendekatkannya kepada Allah dan doa yang berterusan tanapa jemu itu telah diperkenankan. Kelegaan yg tidak ternilai..terasa bagai batu di bahu melurut turun..dan perasaan tu tak tergambarkan dengan kata-kata. Upacara pelantikan telah dilalui dengan lancar... kegembiran buat kami sekeluarga ..dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.











Sudah lama tak menulis..terasa janggal. Tidak mengapalah..janji hutang telah tertunai..tercatat apa yang tersimpan dan ku akhiri dengan setinggi-tinggi kesyukuran kepada anugerah Illahi... ALHAMDULILLAH.. untuk  tahun 2020 yang berintikan seluas rezeki buat kami sekeluarga. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...