Khamis, 5 Mac 2009

MEKAR KASIH





















Menyemak?
Semak ini ada nilai estetikanya. Ada rahsia kasih yang kembang mekar di sebalik rimbunan pohon orkid yang menjulai jatuh dari ruang beranda kuarters saya ini. Merimbun bunga kuning orkid ini berbau harum jam seawal 10.00 pagi dan mulai menghilang menjelang senja. Pokok agak tua...ye lah setua penjaganya. Tapi kasihnya terus mekar dan tidak mengenal tua atau muda.

Orkid kuning ini tidak pernah putus berbunga. Rakan bertanya baja...saya beri baja...semoga sama-sama kita menikmati indahnya ciptaan tuhan.

Memelihara mekar kasih ini agak rumit. Perlu dibajai selang 2 minggu dan disirami setiap hari sekurang-kurangnya sekali. Pantang disiram malam...pohon akan menguning dan mati. Macam manusia juga. Orang tua-tua ada menasihati...jangan mandi sebelah malam...sakit sendi, lemah paru-paru, demam malam dan sebagainya. Benar ke? Benar bagi saya...tetapi nama pun manusia...mana yang dilarang itu yang teringin nak dibuat. Panas...mandi...sakit...telan ubat...sakit...sendiri tanggung.

Dilihat dari atas...mekar kasih yang sarat berbunga ini, menjulai keluar dari lohong pagar beranda menunjukkan dirinya. Memaparkan keindahan dan kelebihan diri. Saling bersaingan sesama sendiri. Asyik... merenungnya setiap hari. Mekar ini bertahan lama. Jika tiada hujan menimpa boleh bertahan sebulan lebih. Jika hujan berturutan, cepat gugur. Air hujan pembawa asid ...boleh memusnahkan apa sahaja. Sedangkan logam keras boleh berkarat dan tembuk inikan pula mekar yang lembut dan tipis ini. Saya cuma menunggu masa ingin mengerat dan buang kelopak yang berkarat dan berlubang supaya tidak menjejaskan pandangan.

Mungkin begitu juga hakikat kasih sayang. Insan mendambakan pujian untuk mencipta keyakinan dalam hidup. Apabila keyakinan ada, dia akan menonjolkan dirinya di khalayak supaya dilihat orang. Dengan keyakinan juga dunia semakin dirasakan berseri dan berlumba-lumba untuk menikmati kasih daripada orang yang mengasihi...kadang-kadang di luar kemungkinan. Tamak menghambat perasaan...lupa betapa lukanya hati orang lain. Tetapi hakikatnya tetap satu...tiba hujan musim hujan...mekar kasih ini musnah , di kerat dan di buang orang. Sambil menunggu mekar lain yang mungkin jauh lebih cantik. Ke mana kasih sayang saya yang disemai 1 bulan lamanya?...pupus hilang begitu sahaja dan saya rakus membuang.


Dunia...lihatlah mekar yang satu ini. Sangat pelikkan? Semasa pohonnya masih kecil dihadiahi oleh adik bongsu saya. Dia bosan membela...lambat membesar. Saya menerima. Hadiah...buat saya , amat bermakna walau sekecil mana pun. Saya sirami dan sering berkata dalam hati..bagaimana rupa bunganya ?.
Apabila sulur bunga menunjukkan diri saya segera menggantungnya supaya tidak tergesel dan patah. Al maklum...beranda saya tu kan LUAS...hehehe. Setiap hari mengintai dan yang keluar hanya kudup berwarna hijau yang keras. Ishh...pelik. Betul ke bunga? Akhirnya selang beberapa hari berkembanglah ia. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Sangat cantik dan unik. Kalau boleh saya nak tunjuk kepada semua orang...tapi apa kan daya baru hari ini saya tahu bagaimana nak tunjuk keindahan ciptaan allah ini.

Mekar ini selain rupanya turut mengejutkan dengan baunya. Suatu pagi ketika menyapu di beranda saya terbau bau pudina yang teramat kuat. Saya cari di baju...mungkin tercalit ubat gigi perisa pudina. Rupa-rupanya...bau mekar hijau ini. Saya cium dan ciumi ia semaunya. Tetapi setiap yang teramat istimewa itu selalunya tidak kekal lama. Seminggu sahaja sudah layu dan tidak lagi berbunga hingga ke hari ini. Mungkin sejak 6 bulan berlalu.

Tergamit mengenang insan teristimewa dalam hidup saya...banyak kelebihan yang tak terbandingkan. Tetapi hakikatnya Allah cepat menjemputnya...arwah ibu. Dalam usia 45 tahun ibu telah pergi buat selama-lamanya. Sebelum sempat melihat menantu dan cucu. Sebelum sempat melihat saya berkereta besar dan berumah besar serta keinginan lain yang besar-besar belaka. Ibu yang tidak pandai mengumpat, mengadu domba orang dan meminta itu dan ini dari abah. Saya dan adik-adik telah kehilangannya...dia telah pergi...dengan membawa kasih kami sekeluarga bersama. Al Fatihah...

Saya mahu menjadi ibu sedaya mungkin. Saya mahu jadi orang yang pemurah, yang hatinya ikhlas membantu, yang tidak pernah melawan kehendak dan kata-kata suami, yang kasih dan cinta ditaburkan sepenuhnya kepada rumahtangga dan anak-anak. Tetapi mampukah saya menjadi insan yang istimewa seperti mekar hijau itu...seperti ibu...seperti rakan-rakan saya yang lain yang hidup bahagia tanpa tercalar dengan ketamakan.

Saya menyedari ada sesetengah di kalangan kita yang terlalu tamakkan kasih sayang. Terlalu tamak sehingga sukar dikuis walau sedikitpun. Anda mahu buktinya...bukan berupa harta benda kerana semuanya telah ada...tetapi belaian dan kemanjaan. Sedangkan anda sendiri seharusnya sedar bukan semua manusia di dunia ini mampu mempamerkan kasihnya. Nilaian kasih terlalu subjektif. Kata-kata bukan jaminan kasih ikhlas kerana kata-kata mungkin berupaya membelai perasaan tetapi hayatnya tetap tidak panjang. Kebosanan datang dan kata-kata indah mulai pudar, timbul kecurigaan dan langsung lenyap dan hilang. Kelangsungannya...tiba perderitaan yang amat parah tak terubatkan.

Kesimpulannya...beralihlah mencintai mekar putih suci ini atau mekar komersial yang amat sederhana sifatnya. Hayatnya agak panjang...walaupun tak seistimewa mana. Mekar rerama ini boleh menjangkau 2 bulan hayatnya...jauh berbaloi menjagainya daripada mekar hijau yang tersangat istimewa dan sangat saya sayangi itu. Bertahan tidak sampai seminggu... layu dan tidak muncul-muncul lagi sehingga ke hari ini...demikian adanya... wassalam.



















1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...