Rabu, 4 Mac 2009

MENCIPTA DAMAI

Mungkin ada yang terdetik di hati mengapa cacti dan sakulen ini saya kaitkan dengan mencipta damai. Saya sangat tertarik dengan kelainan dan mencipta ruang di beranda rumah yang sangat terhad ini . Apalah sangat yang dapat saya lakarkan di ruang sempit beranda yang sekangkang kera ini ...kata orang. Tetapi bagi saya di sinilah kasih saya tertumpah dan amat berbaloi sekali memerah keringat menyemai benih kasih kepada pohon berduri ini.

Cacti sangat sinonim dengan diri saya. Bukan sukar untuk menanam dan membesarkannya. Cuma perlu di bajai 3 bulan sekali dan disiram 7 hari sekali. Ditinggalkan kalau sekadar sebulan tidak menjadi kudis. Dalam mudah-mudah begitu masih ada yang merungut...tak mau besar...jadi kuning...mati kandung air...dan macam-macam lagi. Segala macam kata berisi makna kesusahan. Tetapi tidak bagi saya. Mengapa?



Lihat sahaja keindahan antara cacti tertua yang saya belai dan belai setiap hari ini. Gambar ini diambil oleh rakan lama saya Hafliza pada tahun 2003 . Sekarang ini jauh lebih besar dan pernah berbunga 7 kuntum dalam satu masa. Ramai yang mungkin tidak percaya gambar ini diambil dari beranda sekangkang kera di rumah saya itu. Tetapi itulah hakikatnya. Cacti ini perlu belaian dan curahan kasih sayang. Benar dia berduri dan jika tertusuk sangat menyakitkan. Siapa sangka yang pohon berduri itu semuanya menguntumkan bunga indah yang punyai nilai dan ciri tersendiri yang sangat unik . Lihatlah sahaja cacti di atas ...punya kelopak bunga besar, mekar putih suci yang cantik menawan, berbau flora di hutan belantara, agak tengit tapi sangat bermakna buat saya . Malangnya kembangnya cuma 6 jam dan apabila layu ...terus meninggalkan dunia ini dan tak mungkin kembang-kembang lagi.

Saya sangat suka melayan fikiran...fikir dan terus berfikir dan sering keluar dari kotak kenyataan. Sarangnya sangat besar di dalam hati. Terhimpun banyak duri dan bunga-bunga cacti yang mekar dan layu itu. Ada hari mekar dan sering sahaja layu dan tidak mahu mekar-mekar lagi. Saya mencari sesuatu dalam hidup dan tidak pernah tahu sebenarnya apa yang saya cari. Agak pelik...tapi itulah hakikatnya. Mungkin kerana itulah Allah menganugerahkan saya keistimewaan yang satu ini. Kesabaran...membelai pohon-pohon berduri ini .

3 kuntum bunga mekar ini lambang kasih ...kata orang. Kasih saya kepada mereka-mereka yang tersangat saya cintai... tiada duanya di dunia ini. Anak-anak penyambung semangat saya yang berjuang untuk terus hidup. Suami penyambung rangkaian kasih yang tiada tara nilainya. Sesekali diusik rasa...tapi jika mengabaikannya mungkin membawa ganjaran yang lebih baik...saya usahakan, insyaallah. Puteri saya yang sulung berusia 17 tahun. Ain di panggil orang dan saya selesa memanggil akak sahaja. Periang, hebat di pentas pidato tapi adakalanya mampu menukar imej menjadi perengus paling berkuasa di dunia. Putera saya satu-satunya, Haziq, 15 tahun...hanya tahu bau harum tubuh ibu...berkulit hitam manis( boleh di colek), senyum menawan, punya hati murni lembut...menciumi saya setiap kali ada kesempatan. Puteri ketiga...Madiha, 14 tahun ...selamba, jari jemari penuh seni, identiti punya kelainan...sering menewaskan saya dengan kata-kata, tajam, penuh makna. Puteri bongsu...Syifaa' ,10 tahun...sangat manja...sering jadi perantara pelan abang dan kakak-kakaknya, rahsia jangan sekali dikongsi bersama. Hancussss... Lihatlah putera dan puteri saya ini...


Pembaca sendiri dapat menilai senyuman yang terukir di wajah anak-anak saya. Walau apapun tanggapan anda...anak-anak inilah penawar hidup, pemberi galakan dan penyambung hayat saya. Tangis, gurau senda dan tawa sering mencuit perasaan. Yang tinggal di rumah hanya seorang. Yang lain mengharungi hidup berdikari di asrama. Kesepian mengisi hidup saya...pencetus punca saya mulai mencipta damai menanam pepohon berduri dan beberapa spesis orkid di rumah. Ada kalanya anak-anak bersungut...beranda rumah dah jadi hutan simpan tropika dan gurun sahara di sebelahnya...tetapi saya tidak pernah berkecil hati. Ada juga kalanya jadi bahan ketawa dan gurauan apabila melihat cacti saya kelihatan pelik bentuknya dengan bunga yang mekar pelik juga adanya...



Tiada dapat digambarkan dengan kata-kata betapa seronoknya saya dapat berkongsi pengalaman menghayati ciptaan Allah yang satu ini. Pun begitu saya akui kebenarannya jika ada yang berpendapat betapa taksubnya saya dengan cacti. Saya tidak berminat membeli cacti yang besar. Bukan kerana harga...kerana saya tidak pernah berkira wang ringgit untuk memenuhi keinginan saya. Tetapi saya lebih menghargai pengalaman membesarkan, melihat tumbuhnya bilah-bilah duri seterusnya berkembangnya bunga-bunga itu di tangan saya. Sama seperti saya mendewasakan anak-anak saya .3 hingga 4 pasu RM10... harga di pasar malam Changlun dulunya. Kini koleksi dah memenuhi koutanya. Bukan telah memenuhi kouta 1,500 spesis...tetapi kerana ruang sekangkang kera itu telah penuh.


Pernah kedengaran tetapi saya tidak pasti daripada mulut siapa..." orang yang boleh menanam dan membesarkan cacti ini, adalah manusia yang sabar ". Saya berfikir dalam-dalam...benarkah? Adakah saya memenuhi kriteria itu? Yang saya tahu...saya insan pelenting...teramat...pantang dicuit. Tetapi mungkin ada kebenarannya...saya belajar menjadi insan yang terus sabar menanti dan menanti dalam hidup...menanti apa?...saya sendiri tak pasti...itulah saya...yang terus-terusan mencipta damai di hati sendiri...terima kasih kerana sudi membaca. Edisi seterusnya...MEKAR KASIH!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...