Ahad, 8 Mac 2009

MENTARI


Saya merakamkan gambar ini, seperti biasa... hanya dengan menggunakan telefon bimbit saya pada 06.08. 2007 pada jam 3.02 petang. Tarikh ini menandakan telah genap setahun saya melepasi usia kesakitan yang saya alami. Alhamdullilah...hingga sekarang saya masih boleh melihat isi alam berkat doa semua yang saya sayangi.

Petang itu, saya bagai digamit untuk turun ke pejabat untuk sedikit urusan. Seperti biasa saya sangat sensitif dengan persekitaran, nampak kelam...nak hujan ke? Sedetik kemudian masuk panggilan daripada kawan lama...ustazah Asma. Dalam nada riang dia menyuruh saya melihat keluar. Kebetulan saya sedang mendekati pintu sisi pejabat lantas saya menjenguk keluar mendongak ke langit. Ya Allah...di mana hilangnya mentari? Pada ketika itu saya merasakan betapa kuatnya debaran jantung saya. Menyesakkan nafas...ikhlas. Dunia nak kiamat ke? Detik hati saya.

Saya panggil beberapa orang yang lalu lalang termasuk pemandu kolej mendongak ke langit. Semakin lama semakin ramai yang keluar...ada yang berkejaran mencari sunglass takut mendatangkan kesan kepada mata dan ada yang menghalakan telefon bimbit ke langit, termasuk saya. Beberapa minit kemudian...saya menarik nafas lega...mentari mula menampakkan wajahnya. Gelung kelabu semakin jelas melingkari mentari. Apabila semakin ramai yang datang menjenguk, saya pun naik ke cubical semula. Debaran saya masih belum hilang.

Hati terus berkata-kata, apa yang mahu Allah tunjukkan kepada saya. Kebesarannya, keagungannya, keesaannya tidak pernah saya pertikaikan. Malah kepada Allah lah tali tempat saya bergantung harapan demi kelangsungan hidup. Meremang bulu roma saya dan airmata saya menitis kerana Allah memberi saya kesempatan untuk melihat kekuasaannya... kerana ramai rakan-rakan yang tidak menyedari berlakunya fenomena ini...malah ada yang seolah-olah tidak hairan sedikitpun apabila saya tunjukkan gambar ini padanya.

Selang beberapa bulan selepas itu.. tidak silap saya , semasa berada di kawasan pakir kereta blok P4 pada jam 8.00 malam ( keluar makan malam) saya terpanggil mendongak ke langit, sekali lagi saya nampak fenomena yang sama. Cuba merakamkan, gagal...kerana malam gelap dan cahaya datang dari langit. Saya amat hampa. Cuba hubungi rakan-rakan di Jitra tetapi menurut mereka...tidak nampak apa pun. Suami dan anak saya serta pengawal kolej jadi saksi. Malam agak cerah kerana sinaran dari tengah gelung. Saya tidak pasti cahaya mentari atau bulan.

Seperti biasa...saya ligat berfikir. Allah nak tunjukkan sesuatu...tetapi saya tidak pasti. Saya tidak mampu melihat kejadiannya dari sudut agama. Benar-benar tidak mampu...mahu bercakap mengenainya...saya takut...kerana sedar pengetahuan agama saya amat cetek.

Saya melihat segala kejadian ini dari sudut fikiran saya yang mungkin agak sempit. Walaupun sudah hampir 2 tahun berlalu, fenomena ini tetap dalam ingatan saya. Saya mengaku sering terlupa di mana saya letakkan senduk dan sudip apabila memasak. Tetapi kejadian-kejadian begini teramat sukar saya lupakan. Hampir setiap hari saya akan menatap rakaman yang saya buat di telefon bimbit. Sudah jadi rutin...

Terbitnya mentari menandakan bermulanya hari yang baru, suasana baru, rezeki baru, cita-cita dan harapan baru . Selagi ada sinarnya selagi itulah kita mesti bersedia menghadapi kelangsungan hidup ini, mahu tidaknya. Suka atau duka, sesuatu yang tidak boleh kita jadi pertaruhan. Itu hak dan ketentuan Illahi yang tidak boleh dipertikaikan. Maka dengan eratnya saya pegang prinsip yang satu...nikmatilah hidup ini selagi adanya sinar mentari..selagi mampu kita melihat mentari terbit...selagi sinarnya masih terasa memanah pedih menusuk ke kulit ari kita.

Selagi ada sinar mentari, selagi itulah adanya cahaya bulan. Mungkin itulah sebabnya gelung mentari itu berlaku pula pada malamnya. Mentari dan bulan sesama berjanji seia sekata mahu menyinari dunia siang dan malam. Biarlah tiada yang menyedari...biarlah ramai yang mengabaikan ...biar mereka lupa apa ertinya isi alam, tetapi alam tetap meneruskan tugasnya seperti biasa. Menebarkan cahayanya...agar manusia, flora dan fauna mampu terus hidup.

Siapalah saya untuk berkata banyak mengenai mentari. Mentari hak yang maha esa. Di tengah-tengah orbid cakerawala. Yang sangat-sangat berkuasa, menerangi planet-planet di sekitarnya.

Bertuahlah anda jika ada yang mengumpamakan anda sebagai mentari hidupnya. Sebagai sinar penerang dan pemberi harapan kepada isi dunia. Pada subuhnya ternanti-nanti akan kehadirannya dan pada senjanya menangisi sebuah perpisahan...kerana esok belum tentu akan menjanjikan hadirnya mentari dengan cahaya yang sama. Ada hari awan berarak menutupi dan ada harinya kelam ditutup gelungan puing kelabu yang tidak dapat dipastikan dari mana hadirnya..dan tidak mustahil cahayanya yang ditunggu itu tidak muncul-muncul lagi.

Bagaimana lagi saya mahu mengungkapkan kata-kata...kejadian tuhan ini memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya. Setelah saya amat-amati...setelah saya renung-renungkan..sedarlah saya...Allah telah memberi petanda sejak awal kepada saya...saya insan yang selalu leka, sering terlupa, kurang menyedari dan sukar menerima kenyataan hidup. Saya harus bangkit dari kelekaan dan kealpaan, menghadapi dugaan dunia dengan lebih positif, selagi mentari sudi menebarkan cahayanya...insyaalah


1 ulasan:

  1. salam..ai long..acik nie..=)
    www.zairibaharom.blogspot.com hehe..
    hepi blogging long..take care..=)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...