Isnin, 27 April 2009

TAKDIRNYA


hari ini...
tumpahlah airmata
dalam kolah tenang rasa
bertongkatkan tugu cinta
putih suci bersih

hari ini...
goyahlah jiwa hiba
yang laranya tak pernah ketentuan
hanya kerana warkah berita
dia ingin pergi jauh...

hari ini...
bertebaranlah isi hati
entah mana satu mahu bersuara dahulu
mungkin kerana rasa cemburu...
disulam keluhan pilu

hari ini...
sedar lah aku...
aku tidak mampu menongkat langit
walaupun mentari terus terbit
kerana..
takdir telah berjanji
tak mungkin mengundur diri...

cacti5000
18.45 27 APRIL 2009

Ahad, 26 April 2009

SERENA "TERNGANGA"...

Ternganga mulut kereta Nissan Serena saya...bateri kong...tak service lama dah..patut lah pun


Syifaa' sambil tunggu mekanik..bergambar ala pragawati...cewah..
nampak kurus !!!!


Dia tunjuk perasaan dah ...lapaq tak makan lagi..ibu tak masak hari ni...

Pagi tadi saya sibuk basuh semua langsir di rumah. Dah lama tak basuh. Lap sliding door sampai habis 2 jilid suratkhabar. Hitam melegam..hari ni datang seru mengemas dan saya panjat tangga sana dan sini. Teringat masa saya cat rumah sorang...habis satu rumah...cuma ruang tamu dan dining hall chik datang bantu..kurus dibuatnya.... Itulah saya...kalau datang seru nak buat kerja tu.. habis semua buat satu hari. Kalau malas...melengkar malas je la...

Stail saya basuh langsir...senang. Satu hari boleh siap sume..Nak tahu rahsianya..buka je langsir tu..jangan semua sekali. Habiskan setingkap-setingkap. Bubuh sabun plus clorox (sikit je..sat agi kuning jadi putih lak).Putar...bilas...putar kering dan terus pasang balik..aik..tak payah jemur ke?..buat pe jemur..kita dah hang dia kan. Tak payah iron dah..tak kedut...jadi basuh dan terus siap dipasang semula...hahaha. Sambil pasang...buka pulak yang lain dan teruskan proses. Tapi ini sesuai bagi mereka yang langsirnya limited edition...yang diimport dari Italy ke...kat Malaysia tak jual.. jadi ada sepasang tu je...Saya import dari kampung..syyy...nak tahu sejak kahwin tak pernah beli langsir...tak percaya? Tanya hubby and abah saya...bukan kedekut..tak ada budget..

Oh ye...lupa pulak...pokok ceritanya kes kereta saya ni..ish..ish..orang tua camtu la . Melarut entah ke bende. Nampak tak mulut kereta saya yang ternganga tu. Habis membasuh sakan tadi, dah hampir jam 1.00ptg. Melompat..mandi..bersiap..husband pulak call..ajak makan dan ambil si bongsu. Saya rush semacam...sempat sembur minyak wangi..al maklum nak pergi lunch dengan cik abang. Sampai kat kereta..on enjin..laaaa...berdehem-dehem je..hidupnya tidak...Ish..umur baru setahun 4 bulan dah buat hal.
Saya terus call hubby. Dia pun kedengaran macam panik..suruh saya tunggu di parking lot..seminit dua tengok jam kul 1.15. Saya call suruh dia ambil si bongsu dulu. Demi perintah sang puteri... pergilah my hubby. Sampai.. si bongsu dah buat muka. Ye lah..selalu saya yang menjemput. Hubby try on..buka penutup enjin..sampai ternganga luas..konon check itu ini..suruh saya start..macam mekanik. Saya ni bukan penyabar orangnya..arahan keras...abang pergi je lah panggil mekanik..kita tengok itu ini pun bukan boleh baiki.
Dalam hati ...saya memang dah teragak bateri kong kerana dah setahun lebih. Tapi tak mahu memandai..biarlah mekanik yang tengok. Saya dan si bongsu duduk kat parking lot tu. Saya rasa terlalu letih..lapar pulak. Muka pun semacam. Si bongsu mula tanya itu ini..saya mula nak bengang. Mengapa ibu nampak muram je..ayat cukup cantik...buat saya tersenyum. Anak saya yang satu ni..memang power ayat dia. Saya tak tahan ...terkekeh ketawa.
Dia menyedarkan saya..janganlah panik sangat..cool down..semua akan beres..bateri punya hal je tu..kecik sangat...saya pun senyum melebar. Sambil tunggu mekanik datang kami beraksi sakan kat parking lot tu. Dia buat aksi sedih...dah snap dia terkekeh ketawa. Aksi pandang ke bulan tu kononnya pragawati. Ada satu lagi gambar dia terkepit atas peha saya...dia kata jangan masukkan dalam blog ibu...macam kena dera aje..ade-ade saja anakku ini.
Kami naik ke blok jam 2.30...tak larat menunggu. Hubby call tanya pasal bateri pernah tukar belum..saya kata.. mana pernah. Selepas dicas..enjin pun okey dan bateri ditukar di kedai.. alhamdulillah.
Jam 4.30 kami kelam kelibut ke C-mart beli kotak hadiah akak dan cake. Belated...saya hadiahkan mp3 baru..kesian pulak. Apa lagi hiburan yang ada. Yang lama dah rosak. Kami sampai dah jam 5.30. Angah tengah main bola. Datang dengan muka berkerut...masa main dia bukan boleh diusik. Kami makan-makan..sembang-sembang dan bergerak balik jam 6.10 petang. Dah lebih 10 minit.
Dalam kereta.. perut main lagu keroncong pak dah ngah balik ...kerana tengahari tadi hanya makan maggi. Sedap jugak sekali sekala. Teringat pulak kat kawan lama saya yang makan maggi kat office. Lagi sakan. Tadi kami makan malam kat Bukit Kayu Hitam. Si bongsu senyum lebar..tapi frust sebab asparagus dah habis..kesian.
Saya bersyukur kerana saya sudah boleh bersabar hari ini. Buktinya saya masih boleh bergambar sakan dengan si bongsu dalam pada kelaparan dan susah hati ...apa silapnya kereta tu..Alhamdulillah...saya harap hidup saya akan bertambah baik dari sehari ke sehari atas kesedaran betapa pentingnya cool down dalam apa jua situasi...si bongsu..I luv u so much ..u teach me a lot dear...really a lot...

Jumaat, 24 April 2009

IMBASAN...


Baru sebentar melongo termenung setelah membaca blog sahabat saya cahaya ummi. Airmata saya tidak dapat ditahan lagi kerana teringat arwah mak saya. Saya adalah anak yang paling lama berjauhan dari mak kerana menuntut ilmu di UKM dan mak di Kelantan. Cuma bila balik bercuti sahaja, saya akan bersama.

Semasa sakitnya...alhamdulillah saya ada bersama. Mak sakit tak lama...saya pernah bermimpi jenazah mak diusung orang...pulih dan lebih kurang 40 hari selepas itu dia pergi... percaya tidak saya terima berita pemergian mak tanpa tangisan. Saya pulang..peluk tubuh mak yang dah sejuk itu dan saya masih berupaya membisikkan kata-kata..pergilah mak..mak dah terlalu letih...kerja tiada henti..berehatlah. jiran-jiran tarik tubuh saya dan memberi amaran...jangan menangis. Saya cuma berupaya berpaling dan merenung wajah mereka dengan perasaan yang sangat kosong...sekosong-kosongnya. Setelah ibu dikapankan mereka memberi saya seutas carikkan kain kapan...takut rindu sangat kat mak.. dan saya simpan selama lebih kurang 10 tahun di dalam dompet saya dan akhirnya ia hilang .


Apa kaitannya dengan foto yang saya ambil dari laman kecil paras kuarters ini. Saya jumpa anak pokok yang berdaun kecil berbelang kuning hijau dan secalit merah itu dan saya beli..dan kini dah merimbun. Daunnya seperti plastik dan jika patah bergetah banyak. Pohon ini membawa kenangan yang amat dalam bagi saya. Mak memang rajin menanam pokok bunga termasuk pokok yang ini. Setiap petang ada sahaja jiran singgah melawat laman kami dan berkisah tentang pokok-pokok bunga ibu yang subur. Ada kala saya diperintahkan mengambil plastik dan pisau, buah tangan untuk jiran..keratan pepohon yang cantik itu. Saya kan liat sikit..bila diarah..mengomel dan beri jelingan tajam pada mak..dan mak membalas jelingan saya sambil menjuihkan muncungnya menyuruh saya segera bangun.


Saya anak yang paling liat...taik penyakit pulak. Apapun sebagai anak yang sulung..mau tak mau saya terpaksa memikul tanggungjawab dari usia setahun jagung. Sejak darjah tiga boleh lah memasak..setakat nasi..sup..kek kecil dan macam-macam lagi dengan dapur minyak gas tu. Yang peliknya..mak amat percayakan saya. Abah beri sokongan padu..bila saya masak..makan malam abah akan buat komen terbuka..garam tak cukup..lada hitam tak cukup..masam sangat...ikan tak basuh bersih. aduhai tak kena sesaja. Tetapi abah kata...tak apa... belajar sampai boleh.


Kenapa saya yang masak? Kerana mak sibuk berkebun ,mencari rezeki tambahan dan mak membeli peti ais, set kerusi dan emas dengan duit tu. Duit abah untuk menyara kami sekeluarga. Mak juga membela lembu secara pawah dan senja hari baru pulang. Mak saya sedikit pendiam..kekadang saya gelihati juga mengenangkan abah yang membebel siang malam sampai mak naik pekak kerana tak larat dengar. Kami adik beradik lagi lah...ada masa rasa nak sumbat telinga je. Tapi takut kena marah. Tetapi abah amat prihatin tentang pelajaran dan kesihatan kami. Hidup kami terbalik kod. Mak macam lelaki dan abah macam perempuan...kalau sakit abah yang banyak jaga kami bukan mak.


Hobi mak memancing. Sambil mengembala lembu di padang rumput...mak memancing di lombong berhampiran. Keberanian mak agak luar biasa...berkebun seorang diri, mengembala lembu seorang diri..memancing seorang diri dan pernah sekali..lembu lari ke tanah perkuburan lama hampir senja dan mak mencari sampai ke malam. Meremang bulu tengkuk saya bila mengenangkannya.


Mak selalu juga bawa adik-adik memancing bersama kecuali saya..kerana kata mak saya tak ada bakat memancing. Pernah sekali sahaja dapat ikan limbat (adik beradik ikan keli tapi warnanya merah dan panjang) mak lepaskan kembali ke lombong kerana dia kata orang tak makan ikan tu. Saya agak sedih tapi betullah kata orang...dapat rasa rentapan ikan pun dah menimbulkan ketagihan memancing. Seronok jugak. Tetapi selepas tu mak tak bawa saya lagi. Saya cuma layak duduk di rumah jerang nasi pukul 6.30 nanti untuk makan malam.


Saya banyak menghabiskan masa bermain dengan rakan-rakan. Main galah panjang, konda-kondi, buaian...sampai pecah kulit kepala, berlumuran darah. Tak tau apa ayah saya bubuh kat kepala saya dan akhirnya darah tu berhenti. Abah bagi amaran keras..kalau adik-adik main tengok-tengokkan..nanti ada pulak yang berdarah lagi. Adik-adik tak ada yang berdarah selepas tu..tetapi adik bongsu saya secara tak sengaja dalam gelap gelita...black out...saya beri minum minyak gas segelas...allah yang tahu betapa menyesalnya saya. Adik saya tu hampir tak bernyawa.. tapi alhamdulillah..berkat minyak gas tu badannya kini bagai di pam-pam...hehehe


Hujung minggu kami selalu keluar bersama jiran ke sungai kecil..Sg Sabai tak salahnya.. mencari siput sedut. Sekarang ni bila lalu di jalan utama ke Kuala Kubu Bharu..saya selalu menjengok keluar tingkap mencari-cari sungai itu. Wujud tidak lagi???.. kerana pembangunan begitu pesat dan yang ada hanyalah hutan batu. Dulu sejuk dingin di kelilingi pepohon getah. Kami berkelah sekali dalam air tu. Bawa nasi, sambal, telur dadar dah cukup menyelerakan. Air tangan mak memang tak boleh dilupakan...


Sepanjang hayatnya...sejak saya mengenali erti hidup..itulah mak saya...tangan mak sejuk, orang kata. Tanam pokok apapun hidup. Semakin berusia ini saya merasakan yang hidup saya dah jadi macam mak. Saya yang amat sensitif dengan alam semulajadi..asyik mencuri jeling dari dalam kereta kepada lombong, pokok getah, lembu dan kambing apalagi pokok-pokok bunga. Andai lalu di kawasan belukar...bau belukar amat mengasyikkan saya. Mengembalikan kenangan silam...kenangan zaman kanak-kanak yang kekadang terasa pahit dan kekadang terasa manis.

Kami adik beradik dah dilatih mengurus rumah dari kecil. Ke pasar membeli ikan sendiri dan teringat adik ketiga saya yang kecut perut ...pucat lesi balik ke rumah kata ikan dah masuk longkang...mereka terjatuh dari basikal di jambatan dan ikan tercampak masuk longkang. Saya selongkar rumah cari duit..dan adik ke pasar semula..sampai kini masih jadi rahsia. Jiran-jiran selalu puji mak pandai didik kami adik beradik . Dan yang paling terharu...hari keputusan SRP keluar...kekewan dah sampai ke sekolah, lompat sakan kotnya ...saya masih sibuk menyidai kain di ampaian dan jiran-jiran menegur. Saya kata belum masak..lepas masak baru boleh pergi. Tetapi tak sempat pergi pun... datang perkhabaran yang saya dapat 15 aggrigate.. dapat masuk science stream. Esoknya baru saya berpeluang tengok slip periksa saya. Masa tu...paling top kat kampung. Dalam lesaknya saya..main itu..ini..belajar pun culas. Saya ni cerdik kot...tapi pemalas...

Ada masa abah bawa kami ke kebun...cabut ubi sagu..Ya Allah panasnya tuhan yang tahu. Kami pun cabut..satu-satu. Pakaian lama orang ,kami pakai..yelah nak ke kebun kan. Saya mula rasa sedih ni. Habis je ubi dicabut dalam 2 hari macam tu..dijual dan abah bawa kami makan di Tanjong Malim. Upah...seronok betul. Esok cerita kat kekawan

Usia abah dah hampir 80 tahun. Abah masih cergas..berkat membebel ..tak stress kot..dan mak dah lama meninggalkan kami. Saya ada mak tiri dan kami sayangi dia macam mak sendiri. Orang kampung masih tak lupa kat mak. Dia orang kata mak dan abah pandai didik kami, kasih sayang boleh diberi pula kepada mak tiri . Dalam ada pengganti.. abah sering menyebut mak pandai masak itu dan ini..kasih abah masih berbunga walaupun dah 19 tahun mak meninggalkannya...alhamdulillah.

Apapun pengalaman banyak mendewasakan saya. Semua kenangan tetap bermain-main di mata saya. Saya sering bermimpi akan kisah silam..yang manis, tawar, kelat, masin dan masam. Apa lagi yang pahit. Paling pantang lalu di depan rumah lama kami. Rumah Kilat...rumah paling murah masa tu..masih ada..disewa orang. Terbayang wajah mak..trim pokok bunga.. terbayang wajah adik bongsu saya yang dok bawah rumah curi makan telur itik mentah sepuluh biji..hehe..yang ketiga berambut panjang, putih dan cantik duduk belakang basikal mak teh..yang kedua asyik bersembang dengan itik serati belakang rumah dan saya..anak gadis yang tak tau duduk diam..lompat sana sini..menunggu masa untuk jerang nasi sebelum maghrib...

Anak-anak saya kini tak mengerti itu semua.. Lahir sahaja ke dunia dah tengok bangunan UUM (mereka membesar di Kolej Kelamin UUM). Tetapi yang saya tidak boleh lupa hingga hari ini...satu hari ...anak ketiga saya , Ainur Madiha yang rupanya amat iras wajah mak saya, berlari anak ke kereta, kerana saya sudah lama menunggu, takut dimarahi..naik kereta dan setelah diancam untuk menunjukkan kepada saya apa yang dibelinya, mengunjukkan satu bungkusan ..saya buka bungkusan itu..apa dia???...aduhai alangkah sayunya saya...tali tangsi dan mata kail...dia nak buat ape??? wajah arwah mak menerpa dalam sekelip mata...saya pegang erat bungkusan itu..sambil hati berkata...mak...inilah dia... sebenar-benarnya cucu mak ... Maafkan saya mak...saya insan kerdil ...selalu terlupa dan masih tak lepas berbuat dosa hingga kini...cuma yang dapat saya titipkan hanyalah al fatihah buat mak yang sangat saya dikasihi....

Isnin, 20 April 2009

HANGAT...



Kubikal yang saya sayangi... tempat berlabuh 5 hari seminggu

Kali ini entry saya tidak begitu serius. Walaupun keletihan amat terasa, tapi saya ingin juga menulis dek kehangatan siang tadi. Menguap dah puluhan kali mungkin...jumpa bantal sure lenyap...

Sejak pagi dah sibuk bangunkan si bongsu ke sekolah. Liatnya nak bangun hanya allah yang tahu. Anak bongsu selalu dimanjai. Dulu saya agak anti dengan anak bongsu...manja..tu yang gedebab. Tetapi allah telah membalas tanggapan jahat saya itu..anak sulong..nah rupanya macam ni...macam saya...liat apa segi pun...si bongsu manja, manis...baik hati...cuma gedebab...minta didukung lagi...ooiii mak tuan ...patah pinggang...

Kelmarin, dari balik menghantar ke sekolah, suami ajak pergi breakfast..ehem...macam ada udang sebalik mee je..mulanya niat on diet..nak hirup susu dan cereal je...tapi takut kecik hati cik abang tu ..habis sepinggang bihun goreng dan segelas air suam.. Pagi ini kena setia pada janji kelmarin ...hirup cereal je...Kawan lama call tanya makan ape...saya kata cereal je...dia gelakkan. Kata dia.. dalam telefon pun dengar bunyi keroncong perut saya..memang betul...tapi saya tak ngaku. Bukan on diet ..tapi saya dah tak tau nak makan ape..pada hal awal pagi dah masak nasi goreng untuk si bongsu dan suami.

Cuti tiga minggu..tapi dah hampir seminggu dihabiskan di kubikal. Kalut isi borang cukai . Dua jam setengah baru siap isi untuk diri dan suami. Saya kan isteri mithali...sume keje buat... selagi terdaya..haha. Isi data ...sekejap je ..yang lamanya menunggu dan menunggu (hang). Data berperang sakan di alam maya. Berjuta-juta rakyat Malaysia termasuklah saya suka buat kerja last minit. Rasa nak hempas je keyboard komputer tu...ingat-ingat hak kerajaan...salah pun salah sendiri...tak jadi.

Mood saya memang tak baik kelmarin. Baru nak log in LHDN.. dah datang call minta isi borang hakiki DG48.. Saya ni alergik dengar pasal borang-borang ni. Tak tentu arah dibuatnya. Darah naik ke kepala serta merta. Diberi 2 hari..banyak benda nak buat..slip periksa pun saya dah lupa peruk kat mana. Saya akui saya bukan kerani yang sistematis..tabik spring buat kerani-kerani dengan fail-failnya. Download borang tapisan dan SKT. Attachment tak leh buka lak...geram tau..nak print...network n server problem lak. Fening sungguh...datang pulak perkhabaran buat senarai tugas DG48. Borang SKT dalam bentuk PDF, softwarenya saya tak de, nak convert ke words...alahai...bahang di hati dan kepala tak tau nak cakap camna. Adik-adik bantu bagi maklumat itu ini..okey lah...sejuk lah sikit.


Nasib baiklah juga lah Huziana, kerani kat bawah dengan senang hati tolong taipkan guna taip writer eletrik..ha..ingat tu ..barang lama jangan buang..ada gunanya. Berkat baik sangka dan menghormati...tak ada masalah staf sokongan tu nak tolong saya..kena ingat tu! Selama ni memang hubungan saya dengan mereka okey...kerana saya sangat berpegang kepada prinsip...kerja kita.. kita memang master (konon)..tapi kerja orang.. kita memang tak tau apa. Jadi masing-masing kena saling menghormati. Kerja jadi mudah..orang pun dengan rela hati bantu kita..alhamdulillah.

Dalam kalut..jam 1.15 nak ambil si bongsu balik sekolah...jalan tutup kat trafic light utama di Changlun ni... yang sekarang mengalahkan Chow Kit Road di Kuala Lumpur..sibuk dan jam. Kena buat u turn pulak. Saya speed semacam...hari panas..hati pun panas..serba panas. Saya pun heran dalam setahun entah berapa kali mereka dok baiki jalan tu tapi tak pernah siap dan semakin dibaiki semakin teruk saya tengok. Tak tau lah kalau mata saya ni kelabu. Yelah..usia semakin bertambah dari hari ke hari. Mata makin rabun. Buat spec..guna kalau drive hari hujan dan malam je..tak ngaku rabun. Kadang-kadang anak sendiri pun saya tak begitu cam. Dalam pada sedar diri dah semakin tua...hati ni masih rasa muda..masih mencipta mimpi dan impian yang dah termaktub tidak akan kesampaian..entah lah che' ooii..

Sampai petang saya sambung kerja. Si bongsu asyik mengeluh. Ibu..cuti ni ibu tak masak ke? Saya jeling...bukan tak mau masak. Kerja banyak. Dah hantar borang..hari ini saya update fail meja pulak. Al maklum..hari tu perosok je..jadi kena susun balik. Terutama data kehadiran pelajar. 20hb Mei dah audit dalaman ISO. Minggu depan nak prepare bahan LDK...ye lah..pengerusi LDK..kalau tak jadi latihan dalam kumpulan nanti..saya suruh je bebudak tu lari dalam kumpulan. hehehe. Berat...berat sungguh hukuman dunia ni. Kat akhirat nanti lagi berat. Ye lah..dosa saya berkurah-kurah..tak tahu berapa ribu tahun nak menanti tu...hem...

11 Mei ni pelajar baru nak mendaftar..pelajar baru..tak tahu macam mana. Sudi ke menyapa dengan budi bahasa? Yang pastinya..apa pun tanggungjawab tetap tanggungjawab. Nama pun cikgu kan...

Malam pun semakin larut..saya pun tak mahu melarut panjang hari ini. Special thanx to Huziana. Ad (telefonis), Asniza, Ustzh. Roshidah, Nor Aziyan (ummi) kerana taipkan beban tugas, Rose (teman sembang and tukang dengar rungutan saya dengan senyuman) and many others, yang bantu meleraikan jerutan resah gelisah saya mengisi borang dan menyediakan lampiran-lampirannya. Tahniah kerana kita sama-sama telah berjaya menyiapkan tugasan panas ni.Betullah kata orang...bukan senang nak jadi senang..dan bukan susah nak jadi susah...ishh...buat kawan lama saya tu..terima kasih tidak berbelah bahagi kerana senantiasa memberi saya peluang dan ruang untuk saya tertawa walau dalam keadaan hangat mana sekali pun. Thanx again to everyone...dapat duit berlanar nanti ...kita sesama belanja sakan..dan poket kita terus-terusan kosong!!!!!..aduhai...



Sabtu, 18 April 2009

WARKAH BUATMU YANG DIKASIHI....


Assalamualaikum
Buat Akak...
Ibu ucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke tujuh belas pada 22 April 2009 nanti. Sedar tak sedar ibu dah punya anak gadis manis yang tak lama lagi akan melayari hidup sebagai mahasiswi... mungkin... jika ada rezeki. Apapun doa seorang ibu memohon segala yang terbaik buatmu anakku.



Akak yang dikasihi...
Maafkan ibu...kerana adakalanya menunjukkan rasa tidak puas hati kerana ibu selalu merasakan semuanya serba lambat dari akak. Menjawab panggilan lambat, bersiap lambat... apa lagi menyiang sayur, membasuh dan sebagainya. Ibu tak pernah membezakan kasih sayang...diharapkan akak fahami itu. Harapan ibu akak mengerti...hampir seluruh hidup ibu.. sejak akak dilahirkan tertumpu sepenuhnya untuk membesarkan akak dan adik-adik. Fahamilah yang gelodak jiwa ibu adakalanya terapung-apung menyelinap entah ke mana. Api kemarahan sering sahaja bernyala. Hanya airmata sahaja berupaya menyimbah padam nyalaan besar itu. Akak sendiri tentu fahami mengapa desakan-desakan yang mendatang itu kerana akak semakin dewasa kini...

Sejak kecil akak dah melakarkan banyak kenangan dalam hidup ibu yang tidak mungkin dapat ibu lupakan sepanjang usia. Pernah dua kali dimasukkan ke hospital kerana demam tarik semasa baru berusia setahun setengah. Akak...ibu tenggelam dalam trauma. Setiap kali akak demam...ibu terasa darah naik sampai ke ubun-ubun. Sekiranya tertidur...kesalnya tidak terhingga...takut terjadi apa-apa. Kerana itu juga, apabila adik-adik demam...perasaan yang sama terus mendatang
Akak..
Palitan sejarah hitam UPSR masih bermain-main dibenak ibu. Sehingga ke hari ini..melihat kelibat sekolah...seakan terlihat kelibat akak dengan tangis meruntun tubuh ibu..seolah meminta ...ibu...berilah akak 1A lagi . Masih terbayang jelas beberapa orang cikgu akak yang sama-sama mengesat airmata..memeluk ibu untuk menenangkan. Ibu sedaya mungkin menahan perasaan supaya akak tidak tertekan terus. Ibu kesat airmata akak pada malamnya...akak tidur dengan linangan airmata. Tetapi ibu rahsiakan daripada akak...hari ini mungkin baru akak tahu kan...anakku.. dalam usia terlalu muda akak telah melalui cabaran yang paling hebat .

Apapun ibu amat berbangga kerana ketewasan itu telah berjaya ditebus dengan 8A PMR. Masih terngiang-ngiang suara akak menjerit dalam telefon memaklumkannya. Akak...ibu dah diberitahu lebih awal oleh ayah ... Ayah juga terharu dan suara ayah bergetar keharuan sayang...ibu tak terbalas kata-kata ayah kecuali ucapan alhamdulillah...menutup talian dan terduduk lega di dapur ...bangga.. bercampur sayu dan terharu.

Anakku...
Pilihan untuk meneruskan pelajaran ke SBP sebenarnya bukanlah pilihan terbaik akak pada pendapat ibu awalnya . Bagi ibu di mana-mana sahaja bersekolah asalkan ada usaha, kejayaan akan pasti menjemput. Tetapi ibu redha sayang, ibu dah beri akak pilihan dan natijahnya. Dengan tekad akak nak berpindah...berpindahlah...kerana ibu tahu betapa lukanya jiwa dan perasaan apabila cita-cita dan cinta terhalang.

Dalam masa dua bulan lebih.. jangka masa transisi yang sangat panjang buat ibu... anakku. Apa yang terbayang di mata ibu adalah linangan airmata akak. Ibu sedaya upaya pohon diluahkan rasa terpendam akak...adakala okey...adakalanya akak membisu...membuat ibu serba salah. Setiap pagi ibu bangun dari tidur dengan debaran di dada. Penat memikirkan masalah akak, mungkin sukar menyesuaikan diri...takut masalah lain pula datang menghambat. Angah ada ...tapi bila ditanya dia pun tak boleh beri jawapan. Akak sahaja yang ada jawapannya. Dalam kesedihan itu ada juga yang mencuit hati ibu. Dalam menangis..dalam airmata tumpah ke dalam pinggan nasi...habis juga nasi dan lauk dimakan...itulah keistimewaan akak... masalah tetap masalah...makan tetap makan...dua perkara berbeza...hehe

Anakku sayang...
Maafkan ibu kerana mungkin terlalu mendesak untuk buat keputusan berpindah semula ke SMJ. Ibu cuma mahu melihat akak riang seperti selalu. Melemparkan senyuman manis seperti selalu...dan tak mahu melihat lagi paparan kekeruhan di wajahmu yang suci murni itu. Alhamdulillah fasa itu dah berlalu pergi...tahniah daripada ibu...berkat kecekalan hati semua dugaan telah dapat ditempuhi. Bab ini ibu tabik akak ... Semangat itu mungkin diwarisi daripada ayah...cekal hati...sabar...pemaaf...dan benarlah kiranya perkiraan ayah. Ayah tak setuju akak ditukarkan..katanya...dia ada minta tukar ke?..tidak jawab ibu dalam hati..jadi biarlah dia belajar survive...nanti sampai bila-bila tak tahan cabaran. Sekali fikir...zalimnya suamiku...dua kali fikir...betul juga...sampai bila ibu nak lindungi akak...



Akak... terokailah medan ilmu ini bersungguh-sungguh. Hanya ilmu dapat menjamin kehidupan kita pada masa akan datang. Tiada harta yang dapat ibu tinggalkan buat kalian adik beradik. Teruskan berusaha...walaupun sekarang pencapaian masih tidak begitu stabil..ibu yakin rintangan ini hanya sebesar zarah buat akak kerana banyak sudah dugaan lain yang berjaya diinjak mati. Medan debat, medan deklamasi tu..tinggalkan sementara waktu...kebolehan yang sepatutnya kita syukuri..tetapi terpaksa diketepikan kerana peperiksaan sudah semakin hampir

Sayangku Nurul 'Ain Nabilah...

Akak mungkin tidak pernah tahu yang akak dikagumi kerana kepetahan bercakap sejak berumur 9 bulan...agak luar biasa. Tapi jangan pula bermegah kerana malangnya..baru mula bertatih hanya setelah berumur 1 tahun 4 bulan (kaki pun dah sampai ke lutut ibu apabila didukung) dan boleh mengayuh basikal kecil tu hanya setelah berumur 4 tahun. Sehingga kini... sudah menjangkau usia 17 tahun masih berperang mulut dan berkejaran lagi dengan adik yang bongsu dan masih menggonggong lolipop di mulut. Alahai anakku...terharunya...

Akak...
Insyallah ibu tidak akan menghalang apa jua cita-cita akak. Dengar kata nak buat TESL. Kalau sudah rezeki ke situ...ibu izinkan...Terdahulu ibu mungkin sering memasak telinga memberi amaran..belajarlah di Malaysia sahaja...no overseas... Tapi bila difikir-fikirkan...ibu akan tetap begini...walau di mana akak berada. Ada masa sihat...ada masa sakit. Cuma harapan ibu..jagai diri dan budi pekerti. Sejak kecil sudah banyak galangan dalam hidup..dan ibu percaya... itu sudah cukup untuk mendewasakanmu.

Warkah ini khas buatmu...daripada kekasih yang namanya disebut hingga ke liang lahat nanti. Berlarilah anakku...jangan berlambat lagi. Hujan telah berhenti...mendung telah berarak pergi ...mentari mula menampakkan sinarnya dan pelangi akan muncul sebentar sahaja lagi. Gapailah segala impian ...bertiangkan cabaran semalam ...terima kasih kerana mengizinkan ibu sering berbangga keranamu...wassalam

Jumaat, 10 April 2009

PAGAR BELAKANG

Firdaus..anak murid saya, pelajar Sains Fizikal

Hari ni tak tau mengapa hati saya sayu sahaja...seperti selalu hati bagai digamit kisah silam. Cuba kuis jauh sikit. Semakin dikuis semakin datang...semakin dekat...semakin melekat.

Mungkin sembang kelmarin dengan student saya Firdaus, berasal dari Pasir Tumboh ,Kelantan menggamit nostalgia. Nostalgia alam persekolahan di SMIP (Sek. Men.Ismail Petra) Kota Bharu, Kelantan... tahun 1982/1983. Lama tu...tapi serasa baru semalam berlalu. Teringat pulak kat seseorang...dia pun dapat tengok sekolah yang saya kasihi itu tahun lalu. Terima kasih...dapat jadi duta saya ke sana...hehehe. Lain kali, kalau pergi lagi, harap rakamkan gambar n send kat saya. Boleh masukkan dalam blog ni.

Time daftar ke sekolah tu saya tak tau pun sekolah tu sekolah premier. Abah posting ke Ibu Pejabat Polis Kontijen , Kota Bharu. Abah civilian admourer. Pakar senapang dan pistol. Merasalah saya belajar menembak dengan rifle dan pistol (jaga-jaga hampa sume..tak kena ...saya tembak nanti). Kami empat beradik perempuan semuanya. Jadi abah ajar kami macam lelaki. Tu lah pasal...saya ni kasar sedikit berbanding adik-adik yang lain. Tindakan, gaya bercakap sume turun dari abah...abah pun sayang saya...selalu belikan baju...walaupun dah berumur 45 tahun...hehehe.

Pengalaman mula-mula masuk kelas...wow...pening . Sume kecek kelantei. Dari anak murid, gurunya , stafnya dan pengetuanya sekali. Saya masuk kelas pakai baju kurung, rimas kerana biasa dok pakai skirt n kemeja putih. Dengan poney tailnya sekali. Hei...rambut paras pinggang. Masuk kelas...40 pasang mata memandang ke arah saya. Malu dibuatnya. Sume pakai tudung...ape ke hal aku ni?...bisik saya seorang diri. Tak ada siapa sudi mulakan perbualan. Desas desus suara berbisik...dio oghei luar...saya tak berapa mengerti maksudnya masa tu. Saya buat tak tak tau aje...alhamdullilah masuk seorang lagi budak...ingat lagi ,namanya Zarina. Dari pahang...tapi orang Kelantan jugak asalnya. Dialah yang boleh sembang dengan saya dan jadi penterjemah. Kami dua orang sahaja manusia zaman jahilliah masa tu...tak pakai tudung.

Minggu oriantasi tu saya dan Na asyik kena smash ustazah Mahfuzah (tak salahnya). Lastly saya boring, pakai la tudung. Esoknya beriya-iya ustazah tu puji saya cantik bertudung. Hei...naik tocang la saya. Lama gak...dalam dua minggu baru saya boleh sesuaikan diri sikit. Sume cikgu kecek kelantei. Time bahasa Inggeris...saya tak ingat nama cikgu lelaki tu...selalu puji grammar saya, tulisan saya dan macam-macam lagi. Jumpa kat pasar...saya nyorok balik tiang. Nanti dia speaking...pening aku tengah orang ramai tu..haha. Pernah sekali terjumpa di kedai..dia belikan pen kat saya...malu..jadi rahsia.


Ke sekolah...abah belikan basikal. Kami kayuh berdua..saya dan Na. Nak dijadikan cite...satu hari saya terserempak ngan satu wajah yang rasanya biasa saya nampak. Saya buat tak tau je...dia senyum simpul...esok jumpa lagi...esoknya jumpa lagi...baru boleh recall. Saya berhenti kayuh..toleh belakang...dia rupanya (nama dirahsiakan). Kawan lama, rupa ala nasir wahab...kulit je gelap sikit...padan la ngan aku. Dia memang baik ngan saya kat sekolah lama dulu. Sembang lebih kurang...saya beredar. Rupanya..setiap hari mulai hari tu...dia dok tunggu di pagar belakang sekolah..saya balik...lemparkan senyuman dan dia blah macam tu je, ngan baju sekolah naik motor buruk. Habis sekolah...al kisah terjumpa lak di KL. Masa tu saya di UKM. Entah macamana kasih pun terjalin...aku nak tergelak dah ni. 7 tahun...tapi kasih terhalang. Saya akur...bersama 175 naskah surat cinta dan 3 keping gambar saya bakar di belakang rumah...arwah mak jadi saksi dengan senyum simpulnya. Saya pulak dok cangkung belakang rumah...tup tup tup airmata jatuh ke tanah. Tamat sebuah kisah cinta... yang lukanya saya simpan hingga kini.


Saya juga melakar gosip besar di sekolah. Cikgu Puzi punya hal...panggil saya dalam kelas nak jumpa di bilik...mana ye???...saya kurang pasti...kaunselor ke koperasi. Abei Ji..nama glamour, dah berkeluarga tapi dek 'kekiutannya' sering jadi perhatian pelajar. Saya ekori cikgu Puzi masuk ke bilik tu. Kawan-kawan mengintai dari atas beranda sekolah. Kawan-kawan senyum simpul...saya benar-benar confuse...ape ni??? Mati lah aku. Duduk je...aku ternganga...dia torture saya separuh mati.. dengan merah telinga...dia kata saya ego..tak pernah nak jawab soalan dia...geografi fizikal laaa. Saya kan terer bab tu...Ya allah...saya tak pernah berniat. Mulut saya terkatup rapat. Dia terus melemparkan tuduhan tanpa memberi peluang saya membela diri. Memang salah saya kot. Bila kawan jawab saya tolong tambah sikit-sikit. Tapi tak pernah nak angkat tangan jawab. Cikgu Puzi...bukan saya ego tapi low profile la...


Naik semula ke kelas kawan-kawan perempuan terkam. Dia orang kata...Abei Ji tu curahkan perasaannya kat saya. GILAAAAAA. Saya ni sapa...Khairuddin rakan sekelas saya pun selalu ingat saya ni mix India n Cina. Mana taknya...kulit hitam mata sepet. Siapa nak kat aku???? Kecuali mamat tu...yang dok tunggu kat pagar belakang setiap hari. Sedih...ingatkan dia. Saya diam membisu...tak pernah cite ngan siapa pun kecuali Na. Gossip tersebar dalam kelas...suka hati lah nak kata apa. Satu lagi rahsia tersimpan dalam hati sampai mati gamaknya. Tapi hari ni tak jadi rahsia lagi kan...ye la...hampa sume dah baca.


SMIP mengajar banyak perkara baru. Di sinilah saya belajar berbincang sesama rakan..selalunya tertonggeng study sendiri...di sinilah saya sedar orang Melayu bukan tak ada yang pandai. Kat sini anak Melayu pandai-pandai belaka. Cikgu-cikgu baik sumenya. Komitmen tinggi. Cikgu ekonomi...cikgu Zawiyah ngan kayu pembaris. Ketuk tangan kalau salah lukis keluk atau tak buat nota tepi. Notanya masih saya simpan hingga kini. Ustaz Abdullah Al Qari dengan baju sejuknya lewat jam 12.00 tengahari. Sejuk katanya...suh katup pintu. Kami berpeluh dia peluk tubuh. masuk ke kelas sume kena berdiri. Dah jawab soalan baru boleh duduk. Yang tinggal tak duduk- duduk selalunya nordin... dan saya... adalah 2 kali. Malu besar...tension giler kami. Nasihat yang saya ingat yang datangnya dari cikgu di SMIP hingga kini ...ekspo hanya untuk orang menteliti rendah..orang dah ramai kita ramaikan lagi...jangan sibuk cari kekasih...sampai masa datang sendiri...jangan makan budu, pekasam atau ape yang diperam..tu tok leh nak pandai (ustaz kata) dan jangan ternak kambing...buat dosa je kalau tak di kandang. Orang marah kerana asyik panjat naik rumah orang.


Di sini jugalah tercatat sejarah . STPM periksa 2 kali. Soalan bocor. Saya dah betul-betul down. Saya bukan book worm. Baca ala kadar. Bila kena peksa semula...lagi tak leh masuk. Dah beritahu abah awal-awal. Keluar result ,hampir jam 4.00 petang baru saya pegi. Takut mak oiii. Cikgu Rahman jeling...ni ngaji lagu mano...ngaji ke dok ni?..teghuk lagu ni , nah..slip dihulur. Saya tak berani buka...airmata mula bergenangan . Sampai di luar pejabat intai sikit-sikit...haaa...terkejut beruk ...5P!..ulang tengok...betul ke nama aku, angka giliran, sekolah, no kad pengenalan...betul sume. Na...tersenyum..tapi macam ada yang tak kena. 4P. Ayah dia cukup bersyukur... belanja kami makan kat Hotel Perdana...bisnessman... Balik dah lewat..nak senja..abah dan mak risau. Bila diberitahu..abah senyum simpul...mak pun. Sebab mereka pun tak mengerti maksud 5P. Aku kata sume terbaik je...abah seronok...harapan dia agar saya jadi cikgu akan tercapai.


Tugas cikgu-cikgu di SMIP tidak terhenti di situ sahaja. Sampai part isi borang UPU pun mereka pulun bantu. Saya disarankan pohon masuk UKM Fakulti Sains Kemanusiaan dan Fakulti Ekonomi. Borang UIA juga diisi secara rahsia. Memang bercita-cita nak jadi lawyer tau tak? Alhamdulillah saya dapat dua tawaran sekali. Tapi...abah tak galakkan saya masuk UIA..perempuan ni belajar jangan beratkan kepala..katanya. Jadi cikgu senang...alangkah kecewanya saya...setelah melalui banyak halangan...termasuk interview dengan 6 orang interviewer...terjemah skrip syariah...speaking london lagi. Dah dapat...saya terpaksa ketepikan. Surat tawaran tu saya simpan. Abah tak tau sampai hari ini...saya menangis setiap malam sepanjang minggu oriantasi sambil peluk surat tawaran tu . Satu lagi rahsia hati yang saya simpan sampai hari ini.

Saya rindukan segala yang ada di SMIP. Terbayang cikgu-cikgunya, pengetua yang serius tu, basikal saya yang kena ikat kat tiang bendera sekolah kerana tak dikunci, keropok lekor yang jadi hidangan tiap kali rehat, kelas saya yang dihujung bangunan mengadap bilik guru...senang cikgu nak endap kami...bising sikit...sume mata jeling ke kelas. Saya rindu kat kekawan lelaki yang ada 3 kerat tu. Kelas elite..mana ramai lelaki. Ape2 hinggut kerusi saya dari belakang. Khairuddin yang kacukan mamak...yang asyik soal siasat jurai keturunan saya..dgn harapan saya satu species dengan dia. Na yang rajin masak. Nak diet makan sayur je...tahan tinggal dengan mak tiri. Tak habis U dah kahwin. Salma yang rajin dok geigei sokmo dalam kelas...Zaradah yang rajin ngaji...Sunaidah yang habis STPM dikahwinkan...kesian..jadi umpatan cikgu-cikgu. Aminah kalut selalu dio..Nordin akhirnya kahwin juga dengan siapa namanya???...saya lupa...rakan sekelas...setelah bergelar janda..diambil juga jadi isteri berkat cinta monyet yang tulus ikhlas. Paling ingat...pagar belakang sekolah...tempat si dia menanti saya balik sekolah. Ikhlas dari hati...

Kota Bharu tempat saya berlegar dengan basikal. Time banjir main air...makan ubi bakar jualan di tepi jalan. Berpayungan ke sana ke mari. Abah dan ibu tak larang...mereka tahu saya baik..hish..baik ke bendenya. Macam-macam saya buat sampai ke hari ini...hehehe.

Firdaus...terima kasih kerana hadir berkisah hampir dua jam dengan saya. Membuat saya begitu teruja menulis pengalaman manis ini. Terima kasih rakan-rakan yang mengajar saya erti berkongsi ilmu dan pengalaman...terima kasih cikgu Mahfuzah kerana sindirannya membawa berkat. Abei Ji.. thanx...menyedarkan saya...jangan ego tau. Ustaz Abdullah...maafkan saya kerana sering cerita kisah kesejukkan tuan kepada anak murid saya. Cikgu Zawiyah...terima kasih kerana ketukan di tangan dan kutukan cikgu memungkinkan saya dikurniakan segulung ijazah. Terima kasih semuanya...ish...sayu rasa di hati...kenapa baru hari ini saya teringat untuk mengucapkan terima kasih itu... Semoga saya tidak terlalu terlambat....pastinya yang kekal ada.. pagar belakang sekolah tempat si dia setiap hari menunggu...hahahahaha

Khamis, 9 April 2009

SABAN HARI

Bingkisan rindu 12 April 2009

Saban hari...
hanya melakar sepi
sepi rindu jiwa sang ibu
menanti hari-hari berlalu
bagai pungguk
menanti bulan datang bertamu

Saban hari...
hanya melakar harapan
moga esok tiada kesakitan menusuk
bagai anak kecil menanti peluang
menunding pelangi petang lewat hujan

Saban hari...
hanya melakar impian
agar hari ini sang suami menjejaki daun pintu
bagai bidadari menanti dewa hati
memaut erat kasih yang terikat

Saban hari...
hanya melakar mimpi
menggapai mesra suara sang kekasih
bagai desis terjunan air di kali
meresap jauh menyentuh nurani

Saban hari...
daku hanya mampu...
melakar sepi...
melakar harapan...
melakar impian...
melakar mimpi...
bagai pungguk...
bagai anak kecil...
bagai bidadari...
bagai desis air terjunan...
nan menanti bulan...
nan menunding pelangi...
nan memaut erat kasih...
nan meresap jauh...

Saban hari juga...
sepi tiada menemukan tepian
harapan tiada menemukan kejayaan
impian tiada menemukan keasyikan
mimpi tiada menemukan kenyataan.

Saban hari
tewaslah aku...
dalam mengejar
................tepian
................kejayaan
................keasyikan
................dan
................kenyataan

cacti5000
21.51
9 April 2009

Rabu, 1 April 2009

HARI-HARI TERAKHIR


Bergambar bersama anakanda-anakanda yang dikasihi...niat nak masukkan sume...
tapi banyak sangat la pulak...I'm so sorry...

Jangan sedih pulak...ni baru mukadimah. HARI-HARI TERAKHIR memberi gambaran memilukan. Filem, novel, puisi dan pelbagai genre kesusasteraan , sering menggunakan kata-kata ini...dan impaknya positif. Ratusan naskah akan laris terjual di pasaran.Tujuan saya menulis kali ini bukan untuk itu...tak ada yang nak dijual. Nak jual perasaan...tak terjualkan. Hasrat cuma untuk meluahkan rasa...sempena anak-anak didik sesi 2008/2009 yang akan meninggalkan kami selang beberapa minggu sahaja lagi.

Minggu ini adalah minggu terakhir pengajaran formal dan akan diikuti study week and exam tentunya akan menyusul. Pelbagai aksi dan cerita dalam kelas kebelakangan ini. Presentation tak habis lagi...terpaksa dihabiskan. Nampak sume blur je. Saya tak sampai hati menegur dan menyergah seperti selalunya. Bare in mind...tentu mereka tension sekarang ni. Ada yang khusyuk meneliti nota...biarlah. Ada sembang-sembang kecil dan desis ketawa kedengaran...tak pe lah. Bila saya jeling...sesi sembang tamat seketika...sambung balik...dan proses menjeling berterusan sehingga tamat 50 minit. Hati menggelegak nak marah...tapi mantain sabar...kesian pulak.

Ada yang selak helaian akhbar...satu...satu. Saya tarik perlahan-lahan akhbar tu. Tolong tutupkan. Nanti baru baca sayang ooiii...dengar presentation kekawan tu...kesian kat kawan yang present. Muka jadi kelat seketika. Ada pulak yang catat nota sana sini...macam tengah tulis wasiat...esok lusa dah nak mati...dalam masa 50 minit ni mesti tulis...takut tak sempat...Ada pulak yang dari tadi asyik dok tenung handset. Positifnya...sms minta restu mak bapak kot??? Saya tenung ...ada masa faham...ada masa...mereka buat-buat tak faham.

Melanda pula satu lagi fenomena baru...dalam hari-hari terakhir ini...usung buku kokurikulum minta tandatangan pensyarah yang menganjurkan aktiviti. Tarikh akhirnya 31 Mac 2009. Dua hari ini saya penat...penat bercakap dan mengecop...sambil jeling saya membahasakan mereka. Dah last minit baru nak korek lubang. Mulut saya memang laser ya amat tapi hati tetap tak sampai. Saya cop dan turunkan tandatangan. Apa yang lebih hebat...bukan anakanda saya pun datang minta jadi anak angkat...tolonglah puan...boleh tak kami jadi anak angkat puan...tolonglah copkan! Kami cari pensyarah tak jumpa-jumpa dah banyak hari... Mana nak jumpa ...datang waktu lunch dan selepas jam 4.00 petang. Memang tak jadi kesalahan kerana anjuran unit. Mana-mana pensyarah unit boleh cop. Tapi afdalnya...pensyarah masing-masing. Alahai...ikutkan hati tak mahu sesangat...seperti biasa jelingan saya akan hinggap ke wajah mereka...tetapi dengan selamba... muka toyer... mereka tak berganjak seinci pun...Malah mereka balas dengan senyuman. Cop juga lah dengan bebelan panjang lebar. Tak bermaknanya bebelan saya. Kerana mereka sering anggap ia sebagai nyanyian suprano Pn. Noorlida yang garang dan penuh protokol.

Hari-hari terakhir ini persis sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jamuan BBQ merata tempat dan sesi bersalaman minta restu dan peluk memeluk jadi budaya (sesama jantina sahaja). Sekali fikir...bebudak ini sibuk berparti sahaja...dua kali fikir...apa lagi kemeriahan yang ada selain PMC (pasar malam changlun)yang boleh mengurangkan tension. Yang terakhir...di universiti mungkin tak merasa dah...kerana hubungan akrab bukan mudah nak dijalinkan kerana berubah tutoran . Tak ape lah asal tahu adab dan jaga diri... malah senantiasa di bawah pengawasan pensyarah tertentu.

Hari-hari terakhir ini saya terpaksa pakai baju okey sikit...al maklum...baju saya boleh dibilang dengan jari...Panggilan tahun 1997 pun masih dipakai lagi...sesi bergambar terus-terusan. Part penggambaran petang paling tension. Saya busuk...anak-anak itu lagi busuk...hehehe. Tetapi apalah sangat bau badan mereka kerana saya sangat percaya yang hati mereka masih lagi segar dan murni...saya marahi macamana pun....jumpa di mana-mana... masih ada senyuman terukir di bibir. Saya perli separuh mati pun mereka hadir ke kelas macam biasa...kekadang dengan gelak ketawa dan senda gurau mencuit hati. Ada yang nakal...kaki sakat...siap kenyit mata dari dalam kafetaria...alahai...anak-anak ini...sering meruntun hati...

Hari-hari terakhir ini...umpama medan penambat kasih, medan perjuangan bersenjata sakti, medan penduga kesabaran dan medan nostalgia yang tak mungkin padam. Buat anak-anak yang dikasihi sekalian ....seribu kemaafan saya titipkan...kerana kecabulan mulut saya, kekeruhan jelingan saya dan semaraknya api kemarahan saya. Semoga anda berjaya mencipta nama suatu hari nanti... berkat kecabulan....kekeruhan dan kemarakan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...