Jumaat, 24 April 2009

IMBASAN...


Baru sebentar melongo termenung setelah membaca blog sahabat saya cahaya ummi. Airmata saya tidak dapat ditahan lagi kerana teringat arwah mak saya. Saya adalah anak yang paling lama berjauhan dari mak kerana menuntut ilmu di UKM dan mak di Kelantan. Cuma bila balik bercuti sahaja, saya akan bersama.

Semasa sakitnya...alhamdulillah saya ada bersama. Mak sakit tak lama...saya pernah bermimpi jenazah mak diusung orang...pulih dan lebih kurang 40 hari selepas itu dia pergi... percaya tidak saya terima berita pemergian mak tanpa tangisan. Saya pulang..peluk tubuh mak yang dah sejuk itu dan saya masih berupaya membisikkan kata-kata..pergilah mak..mak dah terlalu letih...kerja tiada henti..berehatlah. jiran-jiran tarik tubuh saya dan memberi amaran...jangan menangis. Saya cuma berupaya berpaling dan merenung wajah mereka dengan perasaan yang sangat kosong...sekosong-kosongnya. Setelah ibu dikapankan mereka memberi saya seutas carikkan kain kapan...takut rindu sangat kat mak.. dan saya simpan selama lebih kurang 10 tahun di dalam dompet saya dan akhirnya ia hilang .


Apa kaitannya dengan foto yang saya ambil dari laman kecil paras kuarters ini. Saya jumpa anak pokok yang berdaun kecil berbelang kuning hijau dan secalit merah itu dan saya beli..dan kini dah merimbun. Daunnya seperti plastik dan jika patah bergetah banyak. Pohon ini membawa kenangan yang amat dalam bagi saya. Mak memang rajin menanam pokok bunga termasuk pokok yang ini. Setiap petang ada sahaja jiran singgah melawat laman kami dan berkisah tentang pokok-pokok bunga ibu yang subur. Ada kala saya diperintahkan mengambil plastik dan pisau, buah tangan untuk jiran..keratan pepohon yang cantik itu. Saya kan liat sikit..bila diarah..mengomel dan beri jelingan tajam pada mak..dan mak membalas jelingan saya sambil menjuihkan muncungnya menyuruh saya segera bangun.


Saya anak yang paling liat...taik penyakit pulak. Apapun sebagai anak yang sulung..mau tak mau saya terpaksa memikul tanggungjawab dari usia setahun jagung. Sejak darjah tiga boleh lah memasak..setakat nasi..sup..kek kecil dan macam-macam lagi dengan dapur minyak gas tu. Yang peliknya..mak amat percayakan saya. Abah beri sokongan padu..bila saya masak..makan malam abah akan buat komen terbuka..garam tak cukup..lada hitam tak cukup..masam sangat...ikan tak basuh bersih. aduhai tak kena sesaja. Tetapi abah kata...tak apa... belajar sampai boleh.


Kenapa saya yang masak? Kerana mak sibuk berkebun ,mencari rezeki tambahan dan mak membeli peti ais, set kerusi dan emas dengan duit tu. Duit abah untuk menyara kami sekeluarga. Mak juga membela lembu secara pawah dan senja hari baru pulang. Mak saya sedikit pendiam..kekadang saya gelihati juga mengenangkan abah yang membebel siang malam sampai mak naik pekak kerana tak larat dengar. Kami adik beradik lagi lah...ada masa rasa nak sumbat telinga je. Tapi takut kena marah. Tetapi abah amat prihatin tentang pelajaran dan kesihatan kami. Hidup kami terbalik kod. Mak macam lelaki dan abah macam perempuan...kalau sakit abah yang banyak jaga kami bukan mak.


Hobi mak memancing. Sambil mengembala lembu di padang rumput...mak memancing di lombong berhampiran. Keberanian mak agak luar biasa...berkebun seorang diri, mengembala lembu seorang diri..memancing seorang diri dan pernah sekali..lembu lari ke tanah perkuburan lama hampir senja dan mak mencari sampai ke malam. Meremang bulu tengkuk saya bila mengenangkannya.


Mak selalu juga bawa adik-adik memancing bersama kecuali saya..kerana kata mak saya tak ada bakat memancing. Pernah sekali sahaja dapat ikan limbat (adik beradik ikan keli tapi warnanya merah dan panjang) mak lepaskan kembali ke lombong kerana dia kata orang tak makan ikan tu. Saya agak sedih tapi betullah kata orang...dapat rasa rentapan ikan pun dah menimbulkan ketagihan memancing. Seronok jugak. Tetapi selepas tu mak tak bawa saya lagi. Saya cuma layak duduk di rumah jerang nasi pukul 6.30 nanti untuk makan malam.


Saya banyak menghabiskan masa bermain dengan rakan-rakan. Main galah panjang, konda-kondi, buaian...sampai pecah kulit kepala, berlumuran darah. Tak tau apa ayah saya bubuh kat kepala saya dan akhirnya darah tu berhenti. Abah bagi amaran keras..kalau adik-adik main tengok-tengokkan..nanti ada pulak yang berdarah lagi. Adik-adik tak ada yang berdarah selepas tu..tetapi adik bongsu saya secara tak sengaja dalam gelap gelita...black out...saya beri minum minyak gas segelas...allah yang tahu betapa menyesalnya saya. Adik saya tu hampir tak bernyawa.. tapi alhamdulillah..berkat minyak gas tu badannya kini bagai di pam-pam...hehehe


Hujung minggu kami selalu keluar bersama jiran ke sungai kecil..Sg Sabai tak salahnya.. mencari siput sedut. Sekarang ni bila lalu di jalan utama ke Kuala Kubu Bharu..saya selalu menjengok keluar tingkap mencari-cari sungai itu. Wujud tidak lagi???.. kerana pembangunan begitu pesat dan yang ada hanyalah hutan batu. Dulu sejuk dingin di kelilingi pepohon getah. Kami berkelah sekali dalam air tu. Bawa nasi, sambal, telur dadar dah cukup menyelerakan. Air tangan mak memang tak boleh dilupakan...


Sepanjang hayatnya...sejak saya mengenali erti hidup..itulah mak saya...tangan mak sejuk, orang kata. Tanam pokok apapun hidup. Semakin berusia ini saya merasakan yang hidup saya dah jadi macam mak. Saya yang amat sensitif dengan alam semulajadi..asyik mencuri jeling dari dalam kereta kepada lombong, pokok getah, lembu dan kambing apalagi pokok-pokok bunga. Andai lalu di kawasan belukar...bau belukar amat mengasyikkan saya. Mengembalikan kenangan silam...kenangan zaman kanak-kanak yang kekadang terasa pahit dan kekadang terasa manis.

Kami adik beradik dah dilatih mengurus rumah dari kecil. Ke pasar membeli ikan sendiri dan teringat adik ketiga saya yang kecut perut ...pucat lesi balik ke rumah kata ikan dah masuk longkang...mereka terjatuh dari basikal di jambatan dan ikan tercampak masuk longkang. Saya selongkar rumah cari duit..dan adik ke pasar semula..sampai kini masih jadi rahsia. Jiran-jiran selalu puji mak pandai didik kami adik beradik . Dan yang paling terharu...hari keputusan SRP keluar...kekewan dah sampai ke sekolah, lompat sakan kotnya ...saya masih sibuk menyidai kain di ampaian dan jiran-jiran menegur. Saya kata belum masak..lepas masak baru boleh pergi. Tetapi tak sempat pergi pun... datang perkhabaran yang saya dapat 15 aggrigate.. dapat masuk science stream. Esoknya baru saya berpeluang tengok slip periksa saya. Masa tu...paling top kat kampung. Dalam lesaknya saya..main itu..ini..belajar pun culas. Saya ni cerdik kot...tapi pemalas...

Ada masa abah bawa kami ke kebun...cabut ubi sagu..Ya Allah panasnya tuhan yang tahu. Kami pun cabut..satu-satu. Pakaian lama orang ,kami pakai..yelah nak ke kebun kan. Saya mula rasa sedih ni. Habis je ubi dicabut dalam 2 hari macam tu..dijual dan abah bawa kami makan di Tanjong Malim. Upah...seronok betul. Esok cerita kat kekawan

Usia abah dah hampir 80 tahun. Abah masih cergas..berkat membebel ..tak stress kot..dan mak dah lama meninggalkan kami. Saya ada mak tiri dan kami sayangi dia macam mak sendiri. Orang kampung masih tak lupa kat mak. Dia orang kata mak dan abah pandai didik kami, kasih sayang boleh diberi pula kepada mak tiri . Dalam ada pengganti.. abah sering menyebut mak pandai masak itu dan ini..kasih abah masih berbunga walaupun dah 19 tahun mak meninggalkannya...alhamdulillah.

Apapun pengalaman banyak mendewasakan saya. Semua kenangan tetap bermain-main di mata saya. Saya sering bermimpi akan kisah silam..yang manis, tawar, kelat, masin dan masam. Apa lagi yang pahit. Paling pantang lalu di depan rumah lama kami. Rumah Kilat...rumah paling murah masa tu..masih ada..disewa orang. Terbayang wajah mak..trim pokok bunga.. terbayang wajah adik bongsu saya yang dok bawah rumah curi makan telur itik mentah sepuluh biji..hehe..yang ketiga berambut panjang, putih dan cantik duduk belakang basikal mak teh..yang kedua asyik bersembang dengan itik serati belakang rumah dan saya..anak gadis yang tak tau duduk diam..lompat sana sini..menunggu masa untuk jerang nasi sebelum maghrib...

Anak-anak saya kini tak mengerti itu semua.. Lahir sahaja ke dunia dah tengok bangunan UUM (mereka membesar di Kolej Kelamin UUM). Tetapi yang saya tidak boleh lupa hingga hari ini...satu hari ...anak ketiga saya , Ainur Madiha yang rupanya amat iras wajah mak saya, berlari anak ke kereta, kerana saya sudah lama menunggu, takut dimarahi..naik kereta dan setelah diancam untuk menunjukkan kepada saya apa yang dibelinya, mengunjukkan satu bungkusan ..saya buka bungkusan itu..apa dia???...aduhai alangkah sayunya saya...tali tangsi dan mata kail...dia nak buat ape??? wajah arwah mak menerpa dalam sekelip mata...saya pegang erat bungkusan itu..sambil hati berkata...mak...inilah dia... sebenar-benarnya cucu mak ... Maafkan saya mak...saya insan kerdil ...selalu terlupa dan masih tak lepas berbuat dosa hingga kini...cuma yang dapat saya titipkan hanyalah al fatihah buat mak yang sangat saya dikasihi....

2 ulasan:

  1. memang kenangan dgn mak banyak..kerana dari jasa dan hidup mereka kita mencipta hidup sendiri....takkan mudah dilupakan segala pengorbanan mereka...memang banyak dan mencabar tak seperti ibu2 sekarang...at least kita ada blog tempat mencurah rasa .mak kita dulu, curah rasa kat pokoklah......

    BalasPadam
  2. i agree with u...kt pun ibu jugakan. U lagi la..ibu kepada 8 orang anak. Lagi banyak cabaran. Sekali ganda dari i. Blog inilah tempat i curah rasa. Nak cerita kat orang..orang pun meluat nak dengar. Tulis dan baca sendiri...sedikit release..anyway happy blogging...hehehe. Keta serena i kong hari..duit lagi...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...